Pengundi bukan-Melayu nak PH kalah di Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Gelombang sokongan pengundi bukan-Melayu daripada kaum Cina dan India pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap lebih menyerlah berbanding PRN15 lalu, kata Ketua Wanita GERAKAN Pulau Pinang, Pei Lin Ooi.

- Advertisement -

Tegasnya, kebanyakan kaum bukan-Melayu khususnya pengundi Cina ketika ditemui beliau telah menzahirkan rasa tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan yang gagal menangani masalah ekonomi negara.

“Dari pemantauan dalam satu minggu ini, gelombang menyokong calon PN terutama pengundi Cina agak ketara. Bagi mereka, bila Pakatan Harapan (PH) jatuh (kalah) baharu mereka (PH) tahu apa yang rakyat mahukan,” tegasnya.

Lin Ooi berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di bangsal panas PERIKATAN NASIONAL (PN), Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Taman Mutiara, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau sangat berpuas hati kempen PN melalui media sosial yang dilihat berjaya meyakinkan pengundi terutama anak-anak muda dan pengundi Cina.

“Kempen melalui media sosial ini penting kerana ia mampu menjatuh atau menaikkan pengaruh satu-satu parti.

“Kempen sokong calon PN, Abang Abidin di media sosial sangat baik dan mampu menarik sokongan bukan-Melayu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

- Advertisement -