Nadir cadang sejarah Palestin dalam silibus sekolah YIK

Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) wajar menjadi pencetus untuk menjadikan sejarah Palestin sebagai silibus baharu pendidikan di sekolah-sekolah kelolaannya.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, silibus berkenaan penting bagi masyarakat khususnya pelajar mengenali sejarah negara berkenaan lebih mendalam bagi menerbitkan kecintaan yang berpanjangan.

Beliau memberitahu, bukan hanya Palestin sebaliknya negara-negara Islam lain yang kini ditindas sewajarnya dimasukkan bersama untuk dijadikan silibus baharu dalam pengajian seliaan YIK.

“Apa yang kita lihat hari ini umat Islam di Palestin tidak pernah berhenti dari diserang dan dijajah secara rakus oleh zionis Israel selama sembilan bulan, sedangkan apa yang kita lihat sokongan masyarakat kita terhadap mereka semakin berkurang,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Sambutan Hari Anak Muda Kelantan 2024 di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Tambahnya, jika dilihat demontrasi menyokong rakyat Palestin dan sumbangan juga semakin berkurangan walaupun sedar rakyat Malaysia sentiasa bersama mereka.

Kata Nadir lagi, pihaknya bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain tentu sahaja bersedia untuk membantu bagi menjayakan hasrat tersebut.

Menurutnya, umat Islam di Palestin kini masih diserang dan telah memasuki bulan kesembilan berturut-turut.

Beliau berkata, isu Palestin bukan dilakukan secara bermusim dan ia tidak boleh dilakukan mengikut cita rasa sendiri.

“Biasanya kita menyokong mereka bila mana berlaku serangan ke atas rakyat Ghaza, lama kelamaan semangat itu semakin hilang.

“Sedangkan mereka (rakyat Palestin) masih diserang hingga hari ini dan kita tidak boleh mengangkat tangan sambil kita berkata telah melakukan perkara yang terbaik untuk mereka,” ujarnya lagi.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Urusetia Belia dan Sukan negeri, Mohamad Kamal Mohamed dan timbalannya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

- Advertisement -