Kempen berat sebelah PH akan makan diri

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: PERIKATAN NASIONAL (PN) telah berhadapan dengan suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap yang jelas berlaku secara berat sebelah.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, PN berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) yang menyertai pilihan raya ini dengan menggunakan jentera kerajaan.

- Advertisement -

“Kita melihat dalam tempoh dua minggu ini, kempen kita PN berhadapan dengan PH yang nampaknya mereka datang dengan kekuatan jentera kerajaan yang membantu mereka.

“Ada juga provokasi-provokasi kita lihat yang tak sepatutnya dilakukan pada masa ini, di zaman ini. Sepatutnya kita politik matang dan sejahtera, tetapi kita melihat politik kuno diulangkan kembali,” ujarnya.

ADUN Sungai Dua itu berkata demikian kepada _Harakahdaily_ sewaktu mengadakan lawatan ke Pusat Mengundi SK Jawi yang merupakan Unit Daerah Mengundi (UDM) Ladang Sempah, di sini hari ini.

Tambah Ustaz Fauzi, pihak PH juga menjadikan peribadi calon PN, Abidin Ismail atau Abang Abidin sebagai modal serangan dalam kempen-kempen mereka.

“Mereka menyerang peribadi calon. Ia adalah perkara-perkara yang tak sepatutnya dilakukan. Calon ada kelebihan masing-masing. Kita kempenlah, kita kemukakanlah kelebihan-kelebihan mereka. Jadi kelebihan orang ni Allah SWT anugerah tak sama,” katanya.

Jelas Ustaz Fauzi, sepatutnya sebagai pemimpin mereka seharusnya faham bahawa rakyat boleh menilai siapa yang hendak dipilih.

PH juga kata beliau, bertindak mengarahkan gegantung (banner) PN mengenai kenaikan diesel diturunkan dengan mengklasifikasikan ia sebagai hasutan dan provokasi, sedangkan ia memang satu isu rakyat.

“Tetapi ada _banner_ yang dinaikkan mengenai ‘gelombang hijau’ bagi menakut-nakutkan kaum Tionghua dalam Bahasa Cina. Ini bukan masalah mengenai gelombang hijau, tapi masalahnya adalah mereka membuat provokasi.

“Iaitu kepada masyarakat Tionghua berkenaan gelombang hijau yang akan menyusahkan mereka dan juga akan menyebabkan menjadi masalah kepada mereka nanti,” katanya.

Kerana itu menurut beliau, kempen diadakan itu memang menyaksikan banyak hak-hak PERIKATAN NASIONAL dinafikan sepanjang kempen pilihan raya tersebut.

Pengundian bagi PRK Sungai Bakap berlangsung hari ini melibatkan sembilan pusat mengundi membabitkan 65 saluran dibuka dengan proses pengundian yang bermula jam 8 pagi dan bakal berakhir jam 6 petang.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PERIKATAN NASIONAL Abidin Ismail (Abang Abidin)  dengan calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi sebaik pengiraan undi selesai dan keputusan dijangka diketahui pada malam ini. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

- Advertisement -