KUALA LUMPUR: “Saya tidak jual nama Dato’ Sri Najib Razak untuk masuk parti Bersatu.”
Itu penegasan mantan Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menafikan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang sebelum ini, mendakwa kemasukan beliau ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah dengan menjual nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Noh, Puad sebelum ini mendakwa beliau sanggup menjual nama Najib Razak untuk lompat parti, malah menyatakan matlamat menyertai Bersatu kerana mengidam untuk menjadi calon kerusi Parlimen Tanjung Karang.
“Pertama, Puad ini dah lupa ke apa? Bila masa saya melompat parti? Saya bukan lagi ahli Umno dan saya sebelum ini tidak menganggotai mana-mana parti politik atas nasihat Bossku (Najib).
“Ketika berjumpa beliau di mahkamah beliau minta saya bersabar. Oleh itu, saya bebas untuk memilih mana-mana parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Noh, beliau memilih Bersatu selepas melihat wadah perjuangan parti ini adalah wadah perjuangan untuk orang-orang Melayu seperti perjuangan Umno asal yang kini sudah menjadi ‘UMDAP’ (Umno-DAP atau Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN)).
“PN pula boleh menggantikan BN yang hidup segan mati tak mahu,” tegasnya.
Beliau menyatakan, isu Titah Adendum Najib merupakan antara perkara yang membuatkan beliau kecewa dengan Umno.
“Saya sudah lama kecewa dengan Umno. Umno tetap tidak berubah. Tambahan pula dalam isu Titah Adendum ini, Dato’ Sri Najib Razak sekali lagi terperdaya dengan drama dan wayang dari rakan-rakan di sekeliling beliau.
“Mustahil menteri-menteri Umno tidak tahu samada adendum itu wujud ataupun tidak?,” soalnya.
Soalan beliau terhadap Puad seterusnya adalah mengenai apakah keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Malaysia (MKT Umno) yang membincangkan isu Titah Adendum dan pembebasan Najib dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT)?
“Pertama, mana pergi gerakan meminta tandatangan sokongan kepada Najib, untuk diserahkan kepada YDP Agong (YDPA)? Sudah lupa Puad ?
“Kedua, MT juga pernah buat keputusan untuk pimpinan UMNO mengadap YDPA untuk membebaskan Bossku.
Ketika MT buat keputusan ini adakah Puad bersetuju ataupun adakah Puad berani cadangkan sepatutnya jangan melibatkan YDPA tetapi sebaliknya pimpinan UMNO hendaklah pergi berjumpa PMX dan Lembaga Pengampunan?
“Keputusan MT hanya untuk main wayang sahaja.
“Ketiga,sebagai ahli MT adakah Puad tahu Titah Adendum YDPA untuk menyambung penahanan Bossku di rumah wujud atau tidak?” katanya.
Selain itu, Noh mempersoalkan mengapa Kerajaan Madani tidak mahu mengesahkan sama ada Titah Adendum YDPA wujud ataupun tidak, sedangkan ia melibatkan kuasa YDPA dalam Perlembagaan Negara?
“Saya yakin jika bertukar kerajaan, isu Titah Adendum ini akan terbongkar sama ada wujud atau tidak,” ujarnya.
Puad mengidam mahu jadi Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan?
Menjawab dakwaan puas tentang kononnya beliau mengidam mahu menjadi calon Tanjung Karang, Noh berkata, “Sekiranya saya mahu jadi calon, pada PRU ke-15 dan Pilihanraya Negeri Selangor, saya telah pun ditawarkan untuk bertanding tetapi saya tolak.
“Puad kata saya beri low class punya alasan.
“Yang sebenarnya tanpa Puad sedari, Puad ialah seorang Speaker DUN yang LOW CLASS!
“By Convention, di Parlimen Westminster, United Kingdom ataupun di mana-mana Parlimen di Negara Commonwealth (Komanwel), apabila seseorang Ahli Parlimen dilantik sebagai Speaker House of Commons atau Speaker Negara berkenanan.
“Maka Speaker yang telah dilantik, tidak lagi mencampuri urusan isu-isu politik kepartian. Speaker mesti neutral dan impartial, tidak memihak kemana-mana pihak,” tegasnya lagi.
Tambah Noh, apa yang sering dilakukan Puad ialah mencampuri urusan politik parti setiap hari dengan komen-komen yang kadangkala dilihat lucu dan ‘menghiburkan’, dengan harapan mahu dirinya dilihat terus relevan dalam arus politik perdana negara.
“Berkemungkinan Puad masih lagi mengidam mahu jadi Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan suatu hari nanti.
“Jadi, saya hendak tanya sebagai Speaker DUN Johor, adakah Puad bersetuju dengan keputusan Speaker DUN Kelantan?” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!