Berbalas hujah meriahkan suasana pesta demokrasi

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Cuaca yang semakin panas dihangatkan lagi dengan sorakan berbalas hujah antara kedua penyokong parti di hadapan Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, di sini hari ini.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily ke tempat tersebut, mendapati penyokong sama ada PERIKATAN NASIONAL (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) terus gigih merayu undi saat akhir untuk calon masing-masing.

Kedengaran di pihak penyokong PH memainkan isu akademik calon, namun begitu seakan terdiam tanpa hujah balas apabila penyokong PN menyentuh isu kenaikan harga diesel dan kos sara hidup.

Sungguhpun demikian, situasi berkenaan tidak mencetuskan implikasi kurang baik ataupun pergaduhan di kedua-dua pihak, sebaliknya mewarnai pesta demokrasi PRK kali ini.

Dalam pada itu ADUN Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood ketika hadir melawat bangsal panas PN di pusat pengundian tersebut, menasihati agar tidak keterlaluan melayani perbuatan pihak PH untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Pusat Pengundian di SK Seri Tasek, mempunyai 2,705 pengundi dengan lima saluran melibatkan Unit Daerah Mengundi (UDM) Tasek Junjong.

Sementara di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek untuk UDM Padang Lalang, kelihatan agak lengang di mana seramai 3,732 pengundi dengan enam saluran. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

- Advertisement -