Abang Abidin ucap terima kasih buat warga Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dari PAS, Abidin Ismail, 56, yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan tersebut sekaligus menyaksikan PN berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, oleh Allahyarham Nor Zamri Latiff.

- Advertisement -

“Allahuakbar. Alhamdulillah.

“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga Sungai Bakap termasuk jentera PERIKATAN NASIONAL atas doa, sokongan dan kata-kata semangat kalian,” katanya dalam  kenyataan, pada malam ini.

Menurutnya, kemenangan tersebut bukan miliknya tapi milik bersama dengan warga Sungai Bakap secara berjemaah.

“Mohon bantu saya dalam menunaikan amanah yang berat ini. Terima kasih sekali lagi warga dan pengundi DUN Sungai Bakap,” katanya.

Terdahalu, keputusan rasmi PRK Sungai Bakap yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim pada jam 9.30 malam ini mengumumkan Abidin yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal dan mesra dipanggil sebagai Abang Abidin, menang dengan majoriti 4,267 dengan memperoleh 14,489 undi; manakala Joohari hanya meraih 10,222 undi.

Khairulnizam berkata, sebanyak 63.45 peratus pengundi telah keluar mengundi pada PRK Sungai Bakap pada hari ini, manakala sebanyak 208 undi telah ditolak.– HARAKAHDAILY 6/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!