Terengganu antarabangsakan aktiviti candat sotong

Aktiviti mencandat sotong di Terengganu kebiasaannya dilakukan pada waktu malam, bermula sebelum Maghrib hingga Subuh.
- Advertisement -

MARANG: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, merancang untuk mempromosikan aktiviti mencandat sotong Terengganu ke peringkat antarabangsa.

Beliau menggesa semua agensi yang terlibat untuk menghubungi duta-duta di Malaysia bagi menjemput mereka datang ke Terengganu merasai sendiri pengalaman mencandat sotong, yang hanya boleh dinikmati selama enam bulan setiap tahun.

- Advertisement -

“Sebelum ini, usaha ini pernah dimulakan tetapi terhenti di tengah jalan dan hanya melibatkan media. 

“Sekarang, kita mahu melibatkan orang ramai. Pelancong asing tidak tahu tentang mencandat sotong, ia hanya diketahui oleh penduduk tempatan. Aktiviti ini tidak memerlukan kemahiran khusus atau pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Perasmian ‘Soft Launching’ Musim Candat Terengganu 2024 bertempat di Jeti Marang di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Kata Razali, aktiviti mencandat sotong dan pesta pelita akan dimasukkan dalam kalendar acara nasional pada tahun hadapan.

“Saya telah mencadangkan agar aktiviti mencandat sotong dijadikan acara kebangsaan, dan ini telah dipersetujui oleh Menteri Besar ketika itu. 

“Insya-Allah, tahun hadapan kita akan mengadakannya dalam skala yang lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024