Tauhid Uluhiyyah: Sembah hanya kepada Allah SWT

- Advertisement -

SESUNGGUHNYA agama tauhid inilah agama kita, agama yang satu, dan Allah adalah Tuhan kita, maka sembahlah Allah. Semua Nabi dan Rasul yang Allah utuskan, walaupun berlainan tempat dan bangsa, tetapi semuanya membawa satu perkara sahaja iaitu Islam.

Dalam hidup kita, timbul pelbagai nama agama. Yang masyhurnya ialah agama langit. Selain daripada Islam ialah agama Yahudi dan Nasrani atau Kristian. Kedua-dua agama ini tidak menepati dengan apa yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa.

- Advertisement -

Semua nabi membawa agama Islam belaka. Istilah Yahudi dan Nasrani dikeluarkan oleh orang-orang yang datang kemudian. Asalnya ialah agama Islam. Sebab kata ulama, nabi dan rasul ini adalah umpama adik-beradik, cuma zaman yang lain-lain.

Nabi kita Muhammad SAW menyebut dalam satu hadis, maksudnya “Aku dengan nabi-nabi sebelum aku ini umpama satu bangunan. Tinggal satu sahaja kosong. Yang lain penuh belaka. Maka, akulah yang kosong itu.” Oleh sebab itu, Nabi kita dipanggil sebagai ‘Khotamun Nabiyyin’ maksudnya Penyudah kepada Nabi-nabi dan Rasul.

Dalam hadis Abu Daud disebut, terdapat 124,000 orang Nabi. Ramainya Nabi ini sejak daripada zaman Nabi Adam sehinggalah kepada Nabi kita Muhammad SAW. Nabi menyebut dalam hadis, maksudnya “Akulah Nabi penyudah, tiada nabi selepas daripada aku.”

Tujuan Nabi membawa agama adalah untuk mengajak kita supaya mengesakan dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Allah berfirman yang bermaksud, “Lalu kamu tanya orang-orang yang tidak beriman, siapa yang telah menciptakan langit dan bumi? Nescaya mereka akan jawab Allah.”

Kalau ditanya kepada orang Hindu dan Cina, mereka percaya kepada Allah atau disebut sebagai Tuhan langit, dalam bahasa China ialah Ti’en, tetapi mereka menyembah berhala kerana kata mereka, ia boleh mendekatkan. Orang Musyrikin Makkah juga percaya kepada Robbul ‘alamin, tetapi mereka tidak menyembah Allah.

Jadi, isu besar kita pada hari ini ialah isu menyembah Allah. Dalam perbincangan moden, ia disebut sebagai Tauhid Uluhiyyah. Tauhid Rabubiyyah yakni percaya bahawa Allah yang mencipta langit dan bumi, perkara ini tidak berbangkit.

Perkara yang berbangkitnya ialah sembah Allah atau tidak. Syirik bermula sejak zaman Nabi Nuh dan berterusan sehingga ke hari ini dan muncul dalam pelbagai bentuk. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -