Rishi Sunak mengaku kalah, parti tewas pilihan raya

Rishi Sunak (FOTO: Sky News)
- Advertisement -

LONDON: Pemimpin Parti Konservatif, Rishi Sunak mengaku kalah selepas partinya tewas dalam Pilihan Raya Umum United Kingdom (UK) kepada Parti Buruh pimpinan Keir Starmer, yang bakal memasuki 10th Downing Street sebagai Perdana Menteri dari Parti Buruh pertama negara itu dalam tempoh 14 tahun.

Berucap selepas memenangi kerusinya di Richmond, Yorkshire, pemimpin Konservatif yang kelihatan bersungguh-sungguh itu berkata, Parti Buruh telah memenangi pilihan raya umum ini dan beliau telah menghubungi Keir Starmer untuk mengucapkan tahniah atas kemenangannya, lapor Sky News.

- Advertisement -

Berdasarkan kepada keputusan awal, parti Konservatif diramalkan hanya memenangi 131 kerusi, turun daripada 346 ketika parlimen dibubarkan, disebabkan faktor pengundi yang menghukum parti itu kerana krisis kos sara hidup dan ketidakstabilan selama bertahun-tahun dan pergaduhan yang menyaksikan lima Perdana Menteri berbeza sejak 2016.

Selepas peletakan jawatan Liz Truss mencetuskan krisis kepimpinan parti itu, Sunak dilantik sebagai ketua dan Perdana Menteri termuda era moden pada Oktober 2022, menjadikannya orang Hindu Asia dan Britain pertama mencapai kedudukan itu dalam sejarah UK, selepas kali pertama memasuki parlimen pada 2014.

Sunak sebelum ini mengejutkan negara dan ramai ahli dalam kalangan partinya sendiri selepas mengadakan pilihan raya lebih awal daripada yang diperlukan pada Mei dengan Konservatif pada ketika itu mengekori rapat Parti Buruh dengan kira-kira 20 mata dalam tinjauan pendapat.

Tindakan beliau itu bagaimanapun dilihat memakan diri apabila ia bermula dengan teruk, dengan beliau dibasahi hujan di luar 10th Downing Street ketika mengumumkan hari pengundian, sebelum pembantu dan calon Konservatif terperangkap dalam skandal perjudian berhubung pertaruhan mencurigakan yang diletakkan pada tarikh pilihan raya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

- Advertisement -