PRK Sungai Bakap untuk perubahan politik negara

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: DUN Sungai Bakap walaupun hanya berlaku pilihan raya kecil (PRK), tetapi memberi makna yang sangat besar kepada politik negara, demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -


Tegasnya, PRK Sungai Bakap akan mengajar seluruh Malaysia tetapi rakyat mesti menunjukkan keberanian untuk memilih PERIKATAN NASIONAL (PN) dan menggunakan medan ini sebagai peluang menolak Pakatan Harapan (PH).

Beliau dengan penuh semangat turut menyatakan bahawa PN akan meraikan kemenangan pada Ahad, 7 Julai ini ketika berucap pada Ceramah Mega Grand Finale di Taman Widuri, Sungai Duri, di sini malam tadi.

PAS dan PN ujarnya, mengajak rakyat membuat perubahan politik melalui undi di mana parti itu memilih demokrasi berparlimen dan bukannya peperangan, malah PAS pernah menang kalah dan rebah bangun di Kelantan dan Terengganu.

Namun tegas beliau, PAS tetap memasuki pilihan raya dengan menerima kekalahan walaupun berulang kali tetap sabar dan terus membuktikan bahawa PAS bersama PN mampu untuk memerintah negeri dan negara.

Tuan Guru dalam ceramah itu menyatakan betapa PN ketika menjadi Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah berusaha menyelesaikan pelbagai masalah negara, tetapi PH asyik bergaduh dan membuat pelbagai kesilapan.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, ketika Kerajaan PN dahulu berusaha memanfaatkan segala tenaga dan kepakaran terdapat dalam negara, pemerintahan PH sekarang pula bergantung kepada luar termasuk membuat hutang.

“Menjadikan negara kita bergantung dengan antarabangsa. Bergantung dengan BlackRock. (Sepatutnya) Kalau Tuhan beri negeri kita ni hasil bumi yang banyak, tak perlu bergantung kepada luar. Tenaga manusia kita (di Malaysia) banyak.

“Melayu ada, Cina ada, India ada. Masing-masing dengan pengalaman. Kalau manfaatkan pengalaman bangsa-bangsa ini, kita jadi negara yang besar, yang hebat. Tapi rakyat dijadikan permainan, ditipu masa pilihan raya,” ujarnya.

Tuan Guru turut mengulang ingat dan membidas pelbagai janji pernah ditabur pimpinan PH secara melampau, namun apabila mengambil alih kerajaan tidak mampu buat, menjadikan rakyat yang mengundi ditipu.

Beliau mengingatkan hadis Nabi SAW mengenai ujian tahun-tahun penuh penipuan dan menggoda di mana orang benar dianggap bohong, tetapi orang bohong dianggap benar dan pengkhianat dianggap amanah, sedang orang yang amanah dianggap pengkhianat.

“Orang yang bodoh bercakap perkara-perkara yang besar. Perkara agama, perkara politik, perkara ekonomi. Yang tak tahu ekonomi, bercakap ekonomi, tak tahu politik bercakap politik, tak tahu agama bercakap agama. Semua bercakap, jadi celaru,” bidasnya.

Ahli Parlimen Marang tersebut sehubungan itu mengingatkan Kerajaan PH mengenai banyaknya kerajaan dan parti politik yang memerintah, termasuk dengan begitu lama di beberapa negara, tetapi akhirnya tumbang apabila rakyat membuat perubahan.

Jelasnya, Allah SWT menjadikan kerajaan manusia termasuk Tamadun Islam mengalami pasang surut di mana tidak kekal selama-lamanya, malah ada digantikan dengan kerajaan lain yang jahiliah atau penuh kezaliman.

“Tujuannya untuk menguji manusia dalam kehidupan dunia. Manusia pilih yang mana? Pilih petunjuk Allah atau pilih akal manusia sendiri. Ujian daripada Allah ke atas manusia sebelum berlakunya kiamat. Ni dak ajar orang Islam,” terangnya.

Tuan Guru mengimbau kejatuhan umat Islam hingga negara dijajah takluk dan dibahagi-oleh kuasa Barat, serta melaga-lagakan sesama orang Islam di mana semua itu menuntut Muslim berpegang kepada petunjuk Allah yakni al-Quran.


Beliau sehubungan itu mengajak membuat perubahan politik dengan melakukan hijrah sempena Tahun Baru Hijrah yang akan disambut bersekali selepas hari pembuangan undi pada Sabtu, 6 Julai esok.

Jelasnya, tujuan hijrah sebagaimana dilaksanakan Nabi SAW dari Makkah ke Madinah bertujuan membuat satu perubahan politik menegakkan pemerintahan yang boleh memimpin masyarakat majmuk berbagai agama dengan kaum.

Menurutnya, pelbagai kamilah ketika itu sudah bosan dengan peperangan yang berlarutan dan mahukan pemerintah serta pemimpin berkonsepkan adil pada semua dan dapat menyatukan semua di mana itulah madani sebenar. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

- Advertisement -