PAS tidak sekat kebebasan hak kaum Tionghua

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mat Jan menolak tuduhan bahawa PAS menyekat kebebasan masyarakat bukan-Islam khususnya kaum Cina dalam menjalankan amalan dan budaya mereka.

- Advertisement -

Katanya, isu-isu seperti pemakaian seluar pendek, pemakanan dan minuman oleh orang Cina telah diputar belit oleh pihak tertentu bagi menimbulkan ketakutan kepada PAS.

“Ada yang menakut-nakutkan orang Cina dengan mengatakan babi tidak boleh dimakan dan orang Buddha tidak boleh itu dan ini jika kita memerintah. Ini tidak benar.

“Di Permatang Pauh khususnya kita masih bebas mengamalkan budaya masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Ramah Mesra bersama Ahli Perniagaan Kaum Tiong Hua di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa isu promosi arak di Sunway Carnival juga telah diputar belit oleh DAP sedangkan ia berkaitan promosi tanpa lesen dan beliau sendiri telah bertemu dengan pihak berkenaan.

“Selepas pertemuan tersebut, penjualan arak berjalan seperti biasa,” jelasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang.

Menurut Ustaz Muhammad Fawwaz, kedai-kedai yang menjual arak di Permatang Pauh beroperasi seperti biasa, termasuk semasa sambutan Tahun Baru Cina.

“PAS tidak menyekat apa yang menjadi kebiasaan kepada masyarakat Tiong Hua,” tegasnya mengajak masyarakat untuk melihat negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan sebagai contoh.

Terangnya, negeri-negeri tersebut telah menjadi contoh sekian lama bahawa tidak ada masalah dalam mengamalkan budaya masing-masing di bawah pentadbiran PAS.

“Bawa sahabat kita ke Terengganu dan Kelantan untuk melihat sesuatu yang berbeza dan memahami bahawa kita menghormati kebebasan budaya mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan berkaitan pentingnya saling menghormati dan memahami dalam masyarakat yang berbilang kaum. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

- Advertisement -