Muhyiddin sambut baik Noh Omar sertai Bersatu

Muhyiddin Yassin (kiri) dan Noh Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik keputusan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar untuk menyertai parti itu.

- Advertisement -

Muhyiddin berkata Noh Omar sebelum ini banyak menyertai program Bersatu, malah turut sama-sama membantu parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa siri kempen pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

“Saya melihat kesediaan Noh menyertai Bersatu secara rasmi adalah satu langkah tepat sekaligus membuka ruang kepada beliau untuk memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada parti.

“Saya berdoa semoga hijrah beliau ke dalam wadah parti Bersatu akan meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada parti ini dan memperkukuhkan saf perjuangan PN menuju Pilihan Raya Umum ke-16 nanti, insya-Allah,” katanya.

Noh Omar sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang mewakili Umno selama enam penggal dan menjawat jawatan Menteri di peringkat persekutuan, antaranya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau bagaimanapun telah dipecat daripada Umno pada Januari 2023 disebabkan berkait apa yang disifatkan sebagai melanggar disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sejak daripada itu, beliau telah bergerak secara bebas dan banyak membantu kempen PN dalam siri-siri pilihan raya yang berlangsung seperti PRN 2023 dan PRK Kuala Kubu Bharu pada Mei 2024. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -