Kenaikan kos hidup terus himpit rakyat Sungai Bakap

- Advertisement -

KEMPEN untuk Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang, tinggal beberapa hari lagi. Sabtu 6 Julai ini, 39,279 pengundi berdaftar di DUN ini layak mengundi memutuskan pilihan mereka.

Adalah diharapkan peratusan keluar mengundi kali ini tinggi agar keputusan nanti benar-benar mencerminkan kemahuan dan kehendak majoriti pengundi di kawasan berkenaan.

- Advertisement -

Apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh pengundi di Sungai Bakap? Akhbar The Sunday Star pada 30 Jun 2024 dengan tajuk “The real-world concerns of voters” cuba menyenaraikan apa sebenarnya isu yang menghantui masyarakat di sini. Ternyata sekali lagi, pengundi di sini sebagaimana rakyat Malaysia yang lain mempunyai kebimbangan yang sama.

Kenaikan kos hidup terus menjadi isu besar yang menghimpit kehidupan rakyat jelata termasuk di Sungai Bakap. Selain itu isu di Sungai Bakap termasuk kurangnya peluang pekerjaan buat anak tempatan selain masalah bekalan air.

Mendedahkan isu-isu besar yang menjejaskan kehidupan rakyat di waktu kempen ini sangat sesuai agar pihak yang bertanggungjawab ambil cakna dan segera menyelesaikannya demi kesejahteraan rakyat. Rakyat mahu penyelesaian bukan janji-janji kosong lagi.

Anehnya DUN Sungai Bakap ini terletak dalam Parlimen Nibong Tebal. Kawasan Parlimen ini diwakili Pakatan Harapan (PH) berpenggal lamanya dan hari ini, wakilnya adalah seorang Menteri Persekutuan dari PKR.

Jika MP Nibong Tebal yang ada ini dan yang telah lepas bekerja untuk rakyat, pasti isu-isu besar yang disenaraikan akhbar berkenaan jika tidak pun telah selesai dapat dikurangkan untuk meringankan beban rakyat Sungai Bakap, tetapi tidak

Menurut The Sunday Star sehingga hari ini rakyat terus merungut. Seorang pembantu jualan, Hui Chong 35, menyatakan kawan-kawannya semua telah berhijrah keluar mencari pekerjaan yang lebih baik.

Tambahnya kenaikan kos hidup mengakibatkan tinggal di sini tidak lagi murah. Hawa Dalilah 26, pula menyatakan walau berniaga makanan, hari ini hidupnya cuma cukup-cukup makan. Juruteknik Aizat, 38, pula berkata kenaikan harga barangan membimbangkannya sebagai ketua keluarga. Bawang sekilo dulu RM4 kini naik RM8.

Justeru 6 Julai ini, pengundi di Sungai Bakap sesungguhnya perlu memilih seorang wakil yang dapat menguruskan kebajikan dan permasalahan mereka dengan baik dan berkesan.

Mengangkat wakil yang boleh menjadi suara mereka selaku penyemak dan pengimbang buat kerajaan negeri DAP Pulau Pinang yang memerintah sejak 2008 dan Kerajaan Persekutuan PH-BN kerana ternyata MP Nibong Tebal tidak berkesan dan kerajaan negeri gagal menangani permasalahan rakyat di sini.

Mengapa setelah hampir 19 bulan Parlimen Nibong Tebal diwakili seorang menteri dari PH, penduduk di Sungai Bakap masih merungut isu kenaikan kos hidup dan peluang pekerjaan serta masalah bekalan air? Tidakkah ini mencerminkan kegagalan beliau selain gagal juga kerajaan negeri? Suara rakyat yang lantang langsung tidak diberi perhatian.

Kerana itu 6 Julai ini jangan lagi meletak harap pada mereka, rakyat Sungai Bakap perlu bijak memberi isyarat bahawa rakyat mahu wakil yang boleh membawa suara mereka dan mampu memperjuangkan nasib mereka. Abang Abidin, calon Perikatan Nasional (PN), bekas Pegawai Khas ADUN Sungai Bakap yang lalu menawarkan khidmat lalu berikanlah kepercayaan kepada beliau, kerana yang lain ternyata telah gagal. Sungai Bakap kita kekal, undilah PERIKATAN NASIONAL. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -