Dunia ‘multipolar’ kini jadi kenyataan – Putin

Vladimir Putin (lima dari kanan) dalam persidangan SCO di Astana, Kazakhstan pada 4 Julai 2024. (FOTO: TASS)
- Advertisement -

ASTANA, Kazakhstan: Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata dunia ‘multipolar’ telah menjadi kenyataan, dengan struktur antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan blok ekonomi BRICS menjadi tonggak utamanya.

Berucap pada mesyuarat majlis ketua-ketua SCO pada Khamis, beliau menyatakan bahawa organisasi tersebut kini bertindak sebagai ‘kuasa enjin’ untuk proses pembangunan global dan penubuhan multipolariti tulen, lapor TASS.

“Hari ini, ketika dunia melalui perubahan yang pantas dan tidak dapat dikembalikan, kedudukan proaktif SCO dalam hal ehwal antarabangsa amat diperlukan. Dunia multipolar sudah menjadi realiti.

“Kami yakin bahawa bersama-sama dengan BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) adalah tonggak kepada dunia yang baharu. Kedua-dua organisasi ini berfungsi sebagai penggerak yang kuat di sebalik proses pembangunan global dan usaha untuk memastikan multipolariti sebenar,” katanya dalam Persidangan SCO 2024, di sini, pada Rabu.

- Advertisement -

Selain Presiden Kazakshtan, Kassym-Jomart Tokayev, turut hadir antaranya termasuk Presiden China, Xi Jinping; Presiden Tajikistan, Emomali Rakhmon dan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko.

SCO yang telah diasaskan pada 15 Jun 2001 di Shanghai, China pada mulanya dianggotai enam negara terdiri daripada Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, China, Tajikistan dan Uzbekistan. Pada 2017, India dan Pakistan menyertai blok itu, diikuti Iran pada 2023 dan Belarus pada Khamis menjadi negara anggota penuh ke-10 organisasi berkenaan.

Putin dalam pada itu menegaskan semakin banyak negara menyeru kepada dunia yang lebih adil dan menyatakan keazaman untuk mempertahankan hak sah dan nilai tradisi mereka, dengan pusat kuasa dan pembangunan ekonomi baru muncul dan semakin kukuh

Lima daripada barisan pemimpin dunia yang menghadiri Persidangan SCO 2024 (dari kiri), Xi Jinping, Kassym-Jomart Tokayev, Vladimir Putin, Emomali Rakhmon, dan Alexander Lukashenko. (FOTO: TASS)

Beliau turut memuji inisiatif China mengenai ‘perpaduan dunia untuk keamanan dan keharmonian yang adil,’ dan berkata ia jelas bertujuan untuk membangunkan langkah membina keyakinan dalam bidang kestabilan dan keselamatan, terutamanya di rantau Eurasia.

“Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin keadaan yang sama untuk pembangunan semua, tanpa mengira sistem politik dan ekonomi, latar belakang agama dan budaya negara,” katanya.

Dunia ‘multipolar’ adalah keadaan di mana dunia didominasi oleh tiga atau lebih kuasa dominan. Sejak kejatuhan Soviet Union pada 1991, dunia pada sejak itu Bersifat ‘unipolar‘, yang menyaksikan Amerika Syarikat sebagai kuasa dominan tunggal global dari segi ekonomi dan ketenteraan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 5/7/2024

- Advertisement -