Bekerja di luar bidang pengajian: Graduan buang masa belajar?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Graduan yang terpaksa bekerja di luar bidang pengajian merupakan satu fenomena yang semakin ketara di Malaysia ketika ini memerlukan perhatian kerajaan untuk diselesaikan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamini Dato’ Taib Azamuddin berkata, ia berlaku berikutan era dunia yang semakin berkembang pesat serta pasaran kerja mengalami perubahan yang begitu pantas dan dinamik.  

- Advertisement -

“Hal ini menyebabkan berlakunya beberapa isu dan fenomena kurang menyenangkan melibatkan golongan graduan di negara kita.

“Satu laporan oleh Khazanah Research Institute menunjukkan bahawa satu daripada tiga graduan bekerja dalam bidang yang tidak berkaitan dengan pengajian mereka.

“Keadaan ini menyebabkan golongan graduan merasakan bahawa mereka telah ‘membuang masa’ setelah memperuntukkan bertahun-tahun lamanya dalam bidang pengajian yang dipelajari di menara gading.

“Malah, ada segelintir yang benar-benar memperuntukkan masa yang lama untuk menjadi mahir dalam bidang tertentu. 

“Sayangnya, realiti semasa tidak seindah yang dijangka apabila peluang pekerjaan dalam bidang tersebut semakin terhad, malah ada yang tidak wujud,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut Afnan, fenomena ini membawa implikasi yang mendalam terhadap graduan begitu juga ekonomi secara keseluruhan, dan graduan yang terpaksa berubah haluan mungkin mengalami kemurungan serta merasa usaha bertahun-tahun dalam bidang pengajian adalah sia-sia. 

Pada masa yang sama tambahnya, pelaburan besar dalam pendidikan oleh individu dan kerajaan menjadi kurang efektif apabila graduan tidak bekerja dalam bidang yang mereka pelajari.

“Tiga persoalan ini harus dijawab oleh pihak kementerian, (pertama) bagaimana kementerian bercadang untuk mengatasi masalah ketidaksepadanan ini?

“(Kedua) siapakah yang perlu mengambil langkah pertama dalam mengatasi jurang ini? Dan adakah universiti perlu  menyediakan program yang sesuai dengan industri atau industri perlu menyesuaikan peluang pekerjaan mengikut pengajian universiti?

“(Ketiga) Adakah kerajaan bercadang untuk menilai kesepadanan latar belakang pendidikan? Sekiranya terdapat ketidaksepadanan, adakah mereka akan diberikan latihan atau kursus yang relevan untuk meningkatkan aspek kemahiran?

“Akhirnya, perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan agar terdapat kesepadanan yang baik antara pendidikan negara dan keperluan pasaran kerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024