Tingkat kesedaran tangani kanser

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meningkatkan tahap penyertaan peserta Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) terutamanya dalam Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser (CCTI).

- Advertisement -

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, kanser boleh menyerang kepada semua lapisan masyarakat dan tidak bergantung kepada status sosioekonomi.

“Sekiranya ia dapat dikesan dan mendapat rawatan di peringkat awal, insya-Allah peluang untuk sembuh itu mudah, berbanding setelah kanser di peringkat tiga atau empat baru mengambil rawatan kesan yang agak sukar.

“Adakah kerajaan bercadang untuk memperluaskan program PeKa ini kepada golongan M40 yang juga terkesan dengan keadaan ekonomi seperti kos barangan mahal, ringgit lemah, harga ubatan meningkat, kos pemeriksaan dan rawatan di hospital swasta juga sangat tinggi, ditambah dengan kenaikan kos bahan api?

“Apakah usaha kementerian untuk mengatasi isu ini di samping kesedaran masyarakat kita betapa pentingnya membuat saringan adalah amat rendah lagi?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Dr Alias sangat peka dengan isu saringan kerana ia penting untuk mengesan secara awal bagi menangani kanser.

Katanya, kementeriannya akan mempertimbangkan cadangan untuk memperluaskan lagi program itu kepada golongan M40 berdasarkan dasar dan kewangan.

“Program saringan kanser melalui kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Rose Foundation merupakan penjagaan dalam rawatan dan preventif bagi mencegah kanser,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -