Tangguh RUU Penagih Dadah, libat urus pemegang taruh

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) (Pindaan 2024) yang sedang dibentangkan di Dewan Rakyat ketika ini wajar ditangguh.

- Advertisement -

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, penangguhan itu penting bagi membolehkan sesi libat urus dapat dijalankan melibatkan semua pemegang taruh.

Jelas beliau, terdapat banyak kelemahan di dalam RUU tersebut yang dilihat tidak dapat memenuhi hasrat sebenar RUU itu yang mahu menyahjenayahkan penagihan dadah.

“Apa makna decriminalized itu? Apakah makna menyahjenayahkan penyalahgunaan dadah kalau kita tengok rang undang-undang pindaan ini masih lagi menggunakan pendekatan menghukum dan bukannya menyahjenayahkan.

“Kalau perkataan-perkataan yang digunakan itu juga merujuk penagih dadah dan sebagainya dan bukannya pesakit sebagaimana yang kita hasratkan,” katanya semasa membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, perkara yang sangat mendukacitakan beliau ialah apabila RUU itu dikatakan tidak melalui proses libat urus yang sempurna.

Malah, katanya ramai Ahli Parlimen turut membangkitkan perkara tersebut di dalam perbahasan mereka.

“Ini adalah satu perkara yang memeranjatkan apabila membuat satu pindaan yang cukup besar impaknya. Tetapi bila tidak ada sesi libat urus; tidak ada engagement; tidak ada perjumpaan.

“Malah NGO nak jumpa dengan pihak AADK ataupun KDN pun macam terhegeh-hegeh. Jadi ini adalah satu perkara yang tidak boleh kita terima,” ujarnya.

Tegasnya, pihak yang terlibat secara aktif dalam aktiviti rawatan pemulihan penagih dadah terutamanya harus dilibatkan dan tak boleh dipandang sepi.

“Jadi saya harap kita eloklah kita tangguhkan dulu pindaan rang undang-undang ini supaya kita adakan sesi libat urus dulu, kita tengok mana yang sebaiknya, barulah kita buat pindaan ini.

“Kita tak nak ada pihak yang teraniaya. Walaupun ada kaedah ke ataupun peraturan yang akan dibuat selepas ini, itu bagus. Tetapi engagement itu haruslah dibuat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -