Rokok elektronik juga sumbang salah guna dadah

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyalahgunaan rokok elektronik boleh menyumbang kepada penyalahgunaan dadah, kata Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa).

- Advertisement -

Justeru, beliau menggesa kerajaan meningkatkan pemantauan penggunaan dan penyalahgunaan rokok elektronik.

“Saya ingin menyuarakan kebimbangan tentang peningkatan penggunaan rokok elektronik yang boleh mendorong dan memudahkan lagi amalan penyalahgunaan dadah terutama di kalangan anak-anak muda.

“Kita tahu bahawa kadar cairan yang mengandungi nikotin yang tinggi itu digunakan dalam rokok elektronik ini dan sekiranya mereka mencampurkan dengan dadah terutama dadah sintetik sudah pasti dari sudut mengenal pasti dan penguatkuasaan juga sangat sukar bagi pihak AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) ini untuk membuat siasatan dan juga tangkapan.

“Kerana dia boleh berlaku dengan begitu mudah, benda dalam poket kemudian boleh bawa keluar terus hisap, lepas itu bila orang datang boleh berhenti.

“Tapi kalau penagihan dadah secara konvensional ini, ia mungkin melibatkan peralatan yang sukar untuk mereka lepas daripada dicekup oleh pihak berkuasa,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan)(Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Rang Undang-undang Generational End Game (GEG) atau Generasi Penamat dicadangkan untuk diteruskan oleh kerajaan pada masa kini.

Ini, menurutnya keyakinan dengan perancangan yang dibuat itu akan memastikan bahawa kawalan kepada penagihan dadah dan juga ketagihan nikotin secara berlebihan dapat ditamatkan pada masa akan datang.

“Sangat mendukacitakan apabila kerajaan tarik balik RUU GEG itu, maka sudah pasti usaha yang kita harapkan untuk memastikan kawalan sepenuhnya pada jangka masa tertentu terhadap penyalahgunaan dan juga ketagihan dadah dan rokok ini tidak dapat diteruskan secara lebih efektif,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 4/7/2024