Pusat pemulihan persendirian wajar diberi bantuan kewangan

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata banyak daerah di Perak tidak mempunyai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ada yang masih dalam pertimbangan kerajaan.

- Advertisement -

Beliau berkata, sehingga kini negeri itu juga mempunyai tiga buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dibawah AADK iaitu PUSPEN Perlop Sungai Siput, PUSPEN Batu Kurau dan PUSPEN Seri Iskandar.

Menurutnya cadangan kerajaan untuk melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dilihat tidak mencapai sasaran sekiranya kemudahan itu gagal diselesaikan.

“Perak ada tiga PUSPEN manakala AADK di Perak ada 10 buah mengikut daerah, ada daerah yang belum wujud dan masih dalam pertimbangan pihak kerajaan, saya nak tahu apa status kewujudan AADK ini.

“Hal ini melibatkan beberapa daerah di Perak seperti Bagan Datuk, Mualim dan Kampar yang belum wujud lagi dan tidak ada prasarana,” katanya pada sesi perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Misbahul yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut meminta kerajaan memberikan kelulusan segera terhadap dua pusat pemulihan dadah persendirian yang melaksanakan kerja pemulihan penagihan dadah.

Menurutnya, aa membabitkan institusi pendidikan seperti Pondok al Jaafar di Kampar dan Mawaddah di Perak Tengah di samping tiga buah pusat pemulihan yang berdaftar iaitu sebuah di Gopeng dan dua di Ipoh.

Beliau berkata, kerajaan perlu bersifat terbuka bagi membantu pusat pemulihan dadah termasuk menyalurkan peruntukan kewangan untuk menyokong hasrat murni menangani gejala dadah.

“Saya ingin tahu adakah pusat-pusat pemulihan persendirian ini dipantau perjalanannya dan diberi bantuan kewangan kerana niatnya murni dan wajar diberi bantuan kewangan termasuk prasarana.

“Badan bukan kerajaan banyak terlibat dan berperanan membantu mengatasi masalah dadah ini, justeru saya menyarankan supaya mereka yang terlibat dengan usaha ini dibantu segi kewangan dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -