Pindaan RUU Penagih Dadah progresif tetapi banyak kelemahan

Dato' Azman Nasrudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Profesion Pegawai Pemulihan bagi mengawal selia pegawai pemulihan antara yang dicadang dalam Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024.

- Advertisement -

Bagaimanapun, Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) meminta jaminan kerajaan mengenai penubuhan majlis di bawah Seksyen 27C (1) tersebut benar-benar bebas campur tangan pihak tertentu.

Malah beliau turut mempertikaikan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak melibatkan masyarakat awam, badan bukan kerajaan, pakar perubatan dan ahli akademik dalam pindaan tersebut.

“Seksyen 27C (1) memperuntukkan penubuhan majlis ini namun apakah jaminan bahawa majlis ini akan bebas dari campur tangan, bolehkan kerajaan membentangkan mekanisma pastikan kebebasan majlis ini.

“Mengapakah KDN tidak melibatkan pihak yang berkepentingan seperti orang awam, pakar perubatan dan sebagainya. Kegagalan ini menunjukkan kurangnya keprihatinan pindaan ini kepada kumpulan sasar,” katanya semasa membahaskan RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini,

Azman berkata lagi meskipun usaha itu kelihatan progresif namun ia penuh dengan kelemahan.

Beliau berkata menerusi pindaan tersebut tugas pegawai pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dipertingkatkan termasuk mengesahkan individu terbabit memerlukan rawatan ataupun sebaliknya.

Bahkan menurutnya lagi, Seksyen 27C memberikan kuasa mutlak kepada menteri KDN untuk membuat pelantikan tersebut tanpa mengambil kira ketelusan, kepakaran dan pengalaman yang dimiliki.

“Kerajaan bercakap mengenai pendekatan ‘menang menang’ tetapi bagaimana ini boleh dicapai apabila Seksyen 27A memperuntukkan memberi kuasa besar kepada menteri untuk melantik pegawai pemulihan.

“Adakah ini bermakna pelantikan akan dibuat berdasarkan kepentingan pihak tertentu dan bukannya berdasarkan kepakaran, bolehkah kerajaan memberi jaminan bahawa pelantikan dibuat secara telus?” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -