PH makin terdesak di saat akhir kempen

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) dianggap begitu terdesak apabila didakwa mengugut pengundi tidak melaksanakan projek pembangunan di DUN Sungai Bakap sekiranya tidak mengundi calon PH.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengundi di DUN Sungai Bakap diugut secara berterusan oleh jentera kempen pihak lawan.

Katanya, ada pengundi diugut supaya tidak mengundi calon PN sekiranya mahu projek tertentu dilaksankan di DUN tersebut.

“Kenyataan sebegini adalah satu ugutan dan percubaan merasuah pengundi pada saat-saat akhir kempen.

“Selepas ini akan ada ulasan mempertahan dan menyokong perbuatan seperti itu dan akhirnya ia dihalalkan untuk dijadi budaya parti pemerintah,” katanya pada catatan di Facebooknya hari ini.

Menurutnya juga pelaksanaan projek dan kemudahan awam adalah tanggungjawab kerajaan.

“Tolong bezakan antara dana awam milik rakyat dengan dana parti yang bertanding,” ujar bekas Setiausaha Agung Umno itu.

Annuar yang juga Presiden NGO Muafakat Nasional berkata, apa yang berlaku itu jelas menggambarkan kerajaan hari ini semakin jauh dari impian reformasi yang diimpikan mereka ketika berada di bangku pembangkang.

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku sekarang budaya dan integriti semakin membusuk dalam PH.

Perkara serupa juga didedah Pengarah Strategi Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat Dr Wan Nik Wan Yussof dengan mendakwa banyak kacau ganggu berlaku ketika kempen PN berlangsung.

Katanya ada poster kempen calon PN dicabut pihak tidak bertanggungjawab.

“Sepanjang kempen berlangsung berlaku diskriminasi dan berat sebelah di mana gerak kerja kempen pembangkang sering dikacau ganggu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -