KATHMANDU: Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal hilang majoriti dalam kerajaan pimpinannya selepas rakan parti gabungan utamanya menarik balik sokongan pada Rabu, sekaligus mencetuskan ketidaktentuan politik baharu di negara berkenaan.
Keadaan itu berlaku selepas parti Komunis Nepal Marxis Bersatu-Leninist (CPN-UML), yang merupakan parti gabungan utama dengan jumlah 77 kerusi di parlimen memutuskan untuk menarik balik sokongannya terhadap kerajaan pimpinan Pushpa Kamal, parti Komunis Nepal Pusat Maoist (CPN-MC), lapor Asia News Network.
“CPN-UMLmenarik balik sokongannya kepada kerajaan untuk membuka jalan kepada pembentukan kerajaan konsensus nasional.“
“Perdana Menteri akan dimaklumkan mengenai keputusan itu hari ini,” kata Ketua Whip parti itu, Mahesh Bartaula.
CPN-UML mempunyai lapan menteri dalam kabinet Dahal, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Infrastruktur Fizikal dan Pengangkutan, Raghubir Mahaseth yang telah menyertai kerajaan Dahal pada 5 Mac 2024, dan kesemua mereka akan menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri hari ini.
Dahal sebelum ini memperoleh 157 undi dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 275 orang ahli apabila beliau memohon undi percaya pada 20 Mei. Daripada jumlah itu, CPN-UML mempunyai 77 ahli manakala CPN-MC, yang ketiga terbesar dalam dewan sekadar mempunyai 32 kerusi.
Terdahulu pada Selasa, CPN-UML telah secara rasmi meminta Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan menjelang petang Rabu. Mesyuarat sekretariat parti itu memutuskan untuk menggesa Perdana Menteri berundur bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan mengikut Perkara 76 (2) perlembagaan.
Dahal bagaimanapun menyatakan keengganan untuk meletakkan jawatan serta-merta. Mesyuarat CPN-MC yang diadakan di Baluwatar pada pagi Selasa memutuskan bahawa Perdana Menteri tidak akan mengemukakan peletakan jawatannya, sebaliknya menghadapi undi percaya di parlimen.
Beliau kini perlu mendapatkan undi percaya daripada parlimen dalam tempoh 30 hari untuk kekal berkuasa. Namun, berdasarkan kepada keadaan politik semasa, beliau dilihat tidak akan berjaya untuk memperoleh majoriti undi percaya dalam parlimen. – HARAKAHDAILY 4/7/2024