Penyalahgunaan dadah ketara setelah lepasi umur remaja

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Realiti sebenar di lapangan khususnya dalam konteks peningkatan statistik tahun 2022 menunjukkan aktiviti penyalahgunaan dadah kalangan masyarakat mula terdedah setelah melepasi umur remaja.

- Advertisement -

Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, ini menunjukkan seolah-olah remaja masih dapat dikawal di rumah dan sekolah yang mana kementerian terlibat perlu menjelaskan keberkesanan pindaan Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) untuk memberikan jalan penyelesaian.

Menurutnya, statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam laporan tahunan pada tahun 2022 menunjukkan umur yang tertinggi terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah dalam lingkungan umur 30 hingga 39 tahun.

“Ini satu perkara. Namun apa yang kita juga bimbangkan adalah perubahan ketara bagi kohort umur 15 hingga 19 tahun kepada kohort umur 20 hingga 24 tahun.

“Dalam kohort umur 15 hingga 19 tahun statistik menunjukkan penglibatan yang tidak terlalu tinggi. Cuma apabila memasuki kohort umur 20 hingga 24 tahun statistik naik mendadak serta terdapat perbezaan yang sangat ketara dengan lingkungan umur 15 hingga 19 tahun tadi.

“Persoalannya mengapa keadaan ini berlaku? Mengapa statistik lingkungan umur 20 hingga 24 tahun begitu tinggi dan langsung berbeza dengan lingkungan umur 15 hingga 19 tahun tadi. Apakah kita pernah menanggapi kebimbangan ini,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan)(Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu, kerajaan digesa menjelaskan kawalan yang dibuat bagi mengurangkan beban pihak yang bertanggungjawab terhadap rawatan dan pemulihan penagihan berikutan pindaan dibuat dalam Fasal 15 menambah frasa bagi membolehkan penubuhan pusat khidmat bagi kediaman berbanding pusat pemulihan sedia ada.

“Bahkan sekarang pusat pemulihan dadah, swasta tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Apakah pusat-pusat ini juga didaftarkan?

“Saya ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keanggotaan Majlis Profesion Pegawai Pemulihan. Apakah kementerian telah mempunyai perancangan terhadap keanggotaan Majlis Profesion ini? Apakah kriteria yang ditetapkan oleh kementerian terhadap keanggotaan berkenaan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -