Kerajaan PH-BN: ‘Tiada sinar cahaya di hujung lorong suram’ 

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Polisi yang tidak kukuh, tindakan yang gopoh dan pendirian yang rapuh oleh kerajaan menjadikan negara makin hilang daya saing di peringkat global.”

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata demikian sambil menyatakan, selepas meneliti manifesto Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan gagasan Ekonomi Madani yang dilancarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) pada tahun lepas, timbul persoalan, adakah rakyat masih boleh bergantung dengan harapan palsu yang dijanjikan mereka dahulu?

- Advertisement -

“Kerajaan berterusan memekakkan telinga dengan aduan kesusahan rakyat. Harga diesel dinaikkan, isu beras tempatan belum selesai, beri solusi sampah seperti ‘jangan makan di kedai’ dan ‘jangan makan ayam’.

“Sedangkan hari ini rakyat sedang terperangkap dalam kitaran ganas ekonomi yang bahaya. Kesan kos sara hidup yang tinggi bukan hanya dirasai golongan B40 atau miskin tegar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini kerana menurut Zurk, golongan M40 atau isi keluarga berpendapatan sederhana tinggi juga mula merungut dan ditekan dengan belanja meningkat dan cukai yang semakin bertambah. 

“Adakah kerajaan fikir negara ini cuma sebuah pentas lakonan untuk mereka ‘test market’? Sama ada kerajaan sengaja ingin menakut-nakutkan rakyat atau sedang membalas dendam terhadap bibit-bibit penolakan oleh rakyat?”

“Menyekat peruntukan kepada pembangkang adalah satu hukuman kepada rakyat di kawasan pembangkang,” tegasnya.

Tambah beliau, peruntukan yang dinafikan mengehadkan bantuan dan menafikan hak rakyat, namun tidak diambil kisah oleh kerajaan.

“Kerajaan yang terbentuk kononnya atas nama perpaduan ini gagal menjaga sensitiviti kaum dan agama. Isu kalimah Allah, isu stokin, isu UiTM, isu Palestin, isu menafsir al-Quran sesuka hati dan pelbagai isu panas yang tercetus tidak mendapat perhatian kerajaan.

“Pemimpin kerajaan yang membawa isu 3R, menakut-nakutkan bukan Muslim dengan gelaran Taliban, menggambarkan agama lain akan diancam jika orang Islam menang semuanya bebas tanpa dihukum,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan, semua masalah ini dicantas oleh kerajaan dengan menyekat kebebasan bersuara, menghukum rakyat, menekan pengamal media sehingga Malaysia jatuh merudum tangga dalam Indeks Kebebasan Media.

“Cukuplah kenyataan ini menyuarakan tekanan yang dilalui rakyat sekarang namun kerajaan gagal melihat kesengsaraan ini. Rakyat semakin tidak bahagia dan hidup semakin tertekan. Rata-ratanya terpaksa mendahulukan kerja mengatasi keluarga dan kesihatan diri demi menyara hidup.

“Namun kerajaan masih bertindak sambil lewa menyelamatkan negara dan membantu rakyat. Tidak nampak lagi sinar cahaya di hujung lorong yang semakin suram dihimpit pelbagai masalah tanpa penyelesaian yang menyakinkan oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -