Kelunturan terumbu karang, Terengganu ambil langkah proaktif 

Keindahan terumbu karang di Pulau Tenggol yang terletak kira-kira 30 kilimoter dari muara Sungai Dungun di perairan Laut China Selatan.
- Advertisement -

MARANG: Kerajaan negeri Terengganu sedang mengambil langkah proaktif untuk mendidik pemandu pelancong dan pengendali bot yang membawa pengunjung ke kawasan terumbu karang sebagai usaha menangani masalah kelunturan terumbu karang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris, menjelaskan bahawa pendidikan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mengurangkan kesan negatif terhadap terumbu karang.

“Kami tidak mengehadkan kehadiran pelancong, tetapi kami ingin memastikan mereka faham kepentingan menjaga ekosistem ini.

“Sebagai contoh, penyelam skuba tidak dibenarkan memakai sarung tangan untuk mengelakkan sentuhan pada terumbu karang. Jika air surut, pelancong dinasihatkan agar tidak berjalan atau snorkeling di kawasan terumbu karang yang cetek,” katanya. 

Beliau turut menekankan bahawa bot pelancong tidak dibenarkan meletakkan sauh di merata-rata tempat, sebaliknya harus menggunakan pelampung yang ditetapkan oleh Taman Laut. 

- Advertisement -

“Kita (sedang) bincang dengan Taman Laut supaya setiap kumpulan terumbu karang ditanda dengan pelampung supaya memudahkan pelancong mengenali jenis terumbu karang di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada majlis perasmian ‘soft launching’ Musim Candat Terengganu 2024 di Jeti Marang di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Razali Ismail

Walaupun isu kelunturan terumbu karang menjadi kebimbangan, Razali menegaskan bahawa ia tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke Terengganu. 

“Kita melihat peningkatan jumlah pelancong yang datang ke negeri ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung kelunturan terumbu karang besar-besaran di seluruh negara, menurut Razali yang juga turun sama melihat keadaan tersebut, beliau tidak merasakan perkara itu serius. 

“Saya menyelam, saya tengok biasa sahaja memang perubahan iklim ada, kalau terlampau panas air surut coral akan semakin sakit, kalau tempat air dalam contoh Pulau Tenggol tidak ada terumbu karang yang ‘sakit’ (luntur).

“Terumbu karang yang ‘sakit’ di Pulau Kapas disebabkan dekat dengan darat, air dia cetek maka perubahan itu akan berlaku, sedikit sahaja dan ia bukan kerana ketidaktamadunan pelancong tetapi kerana perubahan iklim,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -