Identiti Melayu Pulau Pinang berakar di Sungai Bakap

- Advertisement -

INSTITUT Darul Ehsan (IDE) mengulangi naratif lama memaparkan dapatan kaji selidik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, Sabtu ini.

- Advertisement -

Ia mencerminkan semula apa yang pernah dipersembahkan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

IDE memberi markah kepada calon Pakatan Harapan (PH) 53.2 peratus dan PERIKATAN NASIONAL (PN) 44 peratus. Kajian itu disebut berdasar tinjauan 786 responden di lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Sungai Bakap.

Kajian tersebut dengan harapan menyuntik semangat kepada petugas kempen PH dan Umno di Sungai Bakap. Mereka isytihar sudah menang sebelum tiupan wisel.

Namun, situasi boleh berlaku sebaliknya. Dapatan kajian IDE membolehkan jentera pilihan raya PH-Umno menggulung tikar lebih awal. Maksudnya sudah boleh goyang kaki.

Apa yang dipersembahkan IDE mengingatkan kita kemunculan banyak badan kajian menjelang PRU15. Berdasar analisis sebuah portal berita terdapat tujuh badan kajian ketika itu.

Lima organisasi tempatan dan dua lagi dari luar negara. Empat daripada kajian tersebut memberi kemenangan kepada PH, manakala tiga lagi memilih BN. PN tiada dalam radar mereka.

Antaranya Emir Research. Emir menjangka PH akan memperoleh 94 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, manakala BN pula 46 kerusi.

PN hanya diramalkan menang 24 kerusi. Begitu juga Invoke menjangka PH menang 91 kerusi, manakala BN (50 kerusi) dan PN (41).

Selain itu Ilham Centre membayangkan PH mampu menguasai 86 kerusi parlimen. BN pula diramalkan menawan 51 kerusi, manakala PN (25 kerusi).

Bagaimanapun dapatan kajian Merdeka Center agak lebih tepat. Badan itu menjangka PH menang 82 kerusi parlimen dan PN (43) kerusi dan Gabungan Parti Sarawak (24 kerusi).

Merdeka Center hanya memberi markah corot terhadap BN dengan menang 15 kerusi parlimen. Akhirnya keputusan PRU15 memuktamadkan PH menang 82 kerusi, PN (74) dan BN (30).

Melayu sokong PN

Berdasar data Strata Analytica PH menerima peningkatan 3.6 peratus pengundi, BN (1 peratus) dan PN (43.7 peratus). PN mengumpul jumlah undi sebanyak 4.6 juta daripada 21.17 juta pengundi.

Data PRU15 juga menggambarkan PN mendapat sokongan lebih 70 peratus pengundi Melayu.

Cuba kita soroti sejarah PRK pasca PRU15. Lapan PRK diadakan. Jumlah tersebut termasuk PRK di Padang Serai, Kedah dan Tioman, Pahang berikutan calon meninggal sebelum PRU berlangsung.

PRK itu diadakan serentak pada 7 Disember 2022 dengan kedudukan seri PN menguasai Bagan Serai dan BN di Tioman.

Kemudian PRK Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023, menyaksikan PAS terus dominan.

Begitu juga PRK Simpang Jeram dan Pulai, Johor yang diadakan serentak pada 9 September 2023. Kerusi itu juga kekal dikuasai PH melalui Amanah.

Selepas itu berlangsung pula PRK Pelangai di Pahang pada 7 Oktober 2023, juga kekal di bawah Umno. Turut diadakan PRK di Jepak, Sarawak pada 3 November 2023 kekal dimenangi Gabungan Parti Sarawak. PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember 2023 dimenangi PN yang diwakili PAS dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon.

Terakhir PRK di Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei 2024, turut menyaksikan PH terus kekal di situ.

Status quo

Berdasar perkembangan itu PRK Sungai Bakap Sabtu ini dipercayai mengekalkan status quo seperti PRN12 pada 12 Ogos 2023.

Asas utama terhadap telahan itu di mana pengudi Melayu membentuk hampir 60 peratus daripada jumlah pengundi. Biar pun diganding peratus kaum Cina dan India, namun pengundi Melayu masih dominan.

Ia berbeza dengan Kuala Kubu Bharu, di mana peratus pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir setara.

Perkiraan itu dibuat dengan mengambil kira demografi pengundi PRU15 dan PRN15 jelas berteras ras dan kaum. Penganalisis terkenal yang berpangkalan di Singapura Prof Bridget Welsh menyifatkan corak pengundian PRU15 berdasarkan kaum.

“Rakyat Malaysia mengundi atas pelbagai sebab, namun corak dominan terhadap pengundian itu adalah kaum. Ini antara lain kerana kempen digerakkan atas garis berkenaan,” katanya seperti disiar sebuah laman berita.

Menurutnya PN mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu di Semenanjung, dengan anggaran 54 peratus. Sebaliknya, PH dianggar disokong 11 peratus Melayu berbanding 25 peratus pada PRU 2018.

Malah, biarpun tewas di PRK Pelangai, namun sokongan Melayu kepada PN meningkat 14 peratus, sebaliknya BN merosot 8 peratus. PN menang dua daripada tiga Pusat Daerah Mengundi di kawasan Felda.

PN menang di Felda Sungai Kemasul dan Sungai Kemahal, namun tewas di Felda Chemomoi. Namun, apabila dicampur undi ketiga-tiga PDM tersebut, PN mendahului Umno dengan 118 undi.

Bersih

Kajian dilakukan penyelidik dari UKM mendapati faktor paling utama sokongan pengundi kepada PN di Pelangai kerana kepimpinan yang bersih. Kajian itu dimuat dalam Jurnal Wacana Sarjana edisi Januari 2024.

Maka potensi rakyat Sungai Bakap mengekalkan penguasaan PN semakin jelas. Lebih-lebih lagi isu bekalan air yang tidak selesai sejak enam tahun lepas.

Calon PN Abidin Ismail turut mendedahkan banyak sekatan dilakukan pihak berkuasa di Pulau Pinang terhadap aktiviti kempen PN.

“Kita hendak padang begitu terhad kerana ada sekatan sehingga terpaksa menggunakan tempat berbayar,” ujarnya.

Sebaliknya calon PH, Dr Joohari Ariffin dibantu jentera kerajaan negeri dan Pusat. Menteri dan anggota Exco turun padang silih berganti.

Namun, pada wawancara dengan sebuah akhbar akhir Jun lepas, Dr Joo seperti mengakui dia agak gugup ketika muncul di pentas ceramah.

Jelaslah kelebihan ada pada calon PN, biarpun diperlekeh pendidikan tidak seberapa. Itu belum lagi diambil kira kesan amukan diesel dan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 8 peratus.

Kenaikan itu berkuat kuasa 1 Mac 2024. Sedangkan kadar SST sebelum ini 6 peratus. Referendum bantahan kenaikan harga diesel bermula di Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -