Dukacita wanita didapati terbunuh didera suami

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kaunter aduan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mesra pengadu dalam menangani isu-isu melibatkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (DVA) perlu diwujudkan.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN Tumpat) berkata, ini bagi memastikan aduan yang dibuat oleh mangsa keganasan dapat ditangani dengan sempurna.

“Kita sangat berdukacita dengan apa yang berlaku kes di Batu Gajah di mana seorang wanita yang telah didera telah pun melaporkan kepada pihak polis.

“Tetapi kemudiannya beliau didapati terbunuh didera oleh suaminya,” ujarnya sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, perkara itu mungkin dapat dielakkan jika ‘Emergency Protection Order’ (EPO) sudah diwujudkan.

“Adakah kerajaan bercadang untuk mengkaji ‘lacuna’ (kelompongan) dalam SOP ataupun dalam undang-undang supaya kita mempunyai ‘legal SOP’ dan juga ‘legal protection’ dalam undang-undang supaya kita ada ‘legal protection’ kepada mangsa-mangsa ini?

“Kerana kita percaya perlu adanya kerjasama di antara Kementerian Pembangunan Wanita dan juga KDN dalam melahirkan penerima pengadu seperti kaunter pertama bahagian polis itu supaya menjadi mesra pengadu dalam kes begini sebab tidak mahu kes ini berulang,” kata Mumtaz.

Beliau turut meminta penjelasan sama ada telah diwujudkan ‘kumpulan sokongan’ khas untuk menangani isu di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Dalam kes kanak-kanak kita ada ‘pelindung’. Dalam kes DVA kita (perlu) ada pasukan yang khusus. Jadi adakah kementerian sudah ada pasukan ini dan berapa pasukannya ditubuhkan dalam negara?” soalnya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri dalam jawapannya berkata kementeriannya telah pun menjalinkan kerjasama dengan PDRM berkaitan isu tersebut.

Jelasnya, ia adalah sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga melalui program-program kesedaran di bawah Jabatan Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

“Peruntukan undang-undang sedia ada sememangnya bersifat mesra dan melindungi mangsa.Tadi disebut EPO tadi, kalau tiada tindakan dalam dua jam, pegawai JKM sendiri boleh bertindak untuk mengeluarkan EPO bagi membantu melindungkan mangsa kita.

“Dari segi NGO ataupun support group sebenarnya kita banyak support group. Malah kita baru saja dalam proses, bukan saja berusaha, baru sahaja kita melancarkan organisasi berasaskan komuniti,” katanya.

Selain itu, kata beliau, kementerian turut memiliki satu pasukan sukarelawan yang dipanggil Skuad Waja di bawah Jabatan Pembangunan Wanita untuk memastikan mereka dapat membantu dalam hal seperti ini. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -