Cabuli undang-undang pilihan raya: PAS ambil tindakan undang-undang

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabuli undang-undang pilihan raya terutama dengan menawarkan apa-apa tawaran dan projek, dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya memandang serius tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO menjanjikan pelaksanaan dua projek di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut pada 6 Julai ini. 

- Advertisement -

“PAS menyifatkan kenyataan ini sebagai satu rasuah terang-terangan dengan tujuan untuk mempengaruhi pengundi sekaligus sewajarnya diisytiharkan sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Tindakan ini juga merupakan satu tindakan terdesak oleh pihak kerajaan terutamanya Pakatan Harapan-Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya kecil ini sekalipun terpaksa menodai lunas-lunas demokrasi,” katanya.

Dua projek yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri itu ialah mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pembinaan sekolah tamil di Sungai Bakap. 

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam satu sidang media ketika hadir ke Majlis Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil, Sungai Bakap pada 2 Julai 2024. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -