Bidalan ‘mengharapkan DAP menyelamatkan UMNO’

- Advertisement -

Di dalam arena politik tanah air, banyak bidalan yang boleh diungkapkan. Salah satu bidalan politik yang boleh diungkapkan pada masa kini ialah ‘Umpama Harapkan DAP Selamatkan UMNO’. Bunyi bidalan ini seperti pelik, tetapi realitinya itulah yang sedang dimomokkan kepada ahli-ahli UMNO. Ahli-ahli UMNO khususnya di DUN Sungai Bakap cuba diyakinkan secara tidak langsung oleh pemimpin-pemimpin mereka, jika UMNO mahu selamat maka DAP lah penyelamatnya.

- Advertisement -

Bidalan ini boleh dianggap antara bidalan-bidalan politik yang pelik muncul di era Kerajaan Campuran PH-BN. Seiring dengan bidalan politik itu, terdapat bidalan-bidalan yang hampir sama, seperti ‘Ibarat Rafizi Membela Rosmah’, ‘Pemimpin DAP Di Seberang Dirai, Pemimpin-pemimpin UMNO Di Depan Mata Dipecat’ dan yang terkini ‘Sayangkan Najib Kurung-kurungkan’. Demikianlah bersungguh benar pemimpin UMDAP (pinjam istilah Dato’ Seri Shahidan Kassim) untuk menormalkan hubungan dengan PH-DAP.

Sebenarnya, bidalan politik ‘Umpama Harapkan DAP Selamatkan UMNO’ bukan sahaja satu khayalan bahkan satu pemikiran beracun yang akan terus meranapkan UMNO. DAP pernah ‘Bertanam Tebu Di Bibir’ dengan pemimpin-pemimpin dan parti-parti Melayu bukan hanya sekali, bahkan umpama ‘Pisang Telah Berbuah Berkali-kali’. Setiap kali ada perpecahan sesebuah parti Melayu, DAP akan segera ‘Menghulur Tangan’, lagak mereka ‘Salin Tak Tumpah’ seperti ‘Menangguk Di Air Keruh’.

DAP pernah menghulur tangan kepada Tengku Razaliegh Hamzah, Anwar Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan juga kepada pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini. Kecuali Anwar Ibrahim yang mendambakan sokongan kaum Cina, yang lainnya telah melihat belang sebenar DAP. Janji DAP mudah sahaja, mereka tetap akan pertahankan empat tonggak Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan keindukan Islam, kedaulatan Raja-raja, kedudukan Bahasa Melayu dan hak keistimewaan Bumiputera.

Hakikat sebenarnya, janji manis DAP umpama ‘Mulut Manis Mematahkan Tulang’, menyebabkan ramai pemimpin Melayu yang sebelumnya cukup keras dengan DAP akhirnya akur untuk bekerjasama dengan mereka. Sedangkan sebenarnya, janji manis mereka tidak ubah seperti ‘Mulut Manis Hati Berkait’, iaitu mereka tetap dengan agenda Malaysian Malaysia dan sekularisme yang diperjuangkan sejak penubuhan parti tersebut. Sesungguhnya, agenda perjuangan DAP bertentangan dengan empat tonggak itu.   

Kini giliran UMNO pula diberi harapan oleh DAP. Begitu terujanya pemimpin-pemimpin UMNO sehingga mereka menyebut DAP lebih ikhlas bersama UMNO berbanding parti-parti yang sebangsa dan seagama dengan UMNO. Lalu ditanamkan ke benak fikiran ahli-ahli UMNO, DAP lah yang bakal menyelamatkan UMNO. UMNO sudah mengikut jejak langkah Anwar ‘Melutut Di Kaki’ DAP untuk mendapatkan sokongan pengundi-pengundi Cina. Untuk kejar undi kaum Cina, undi kaum Melayu yang dikendong akhirnya berciciran.

Apa guna ada padi,
Kalau melukut di tepi gantang,
Apa guna ada PhD,
Kalau melutut di kaki Kit Siang.

Kalau Guppy, Guppy juga,
Sampai masa nampaklah bayang,
Kalau DAP, DAP juga,
Sampai masa nampaklah belang.

* Nota berkaitan pantun:

1. Media PH membandingkan calon PN dan calon mereka yang ada PhD.

2. Anak Ikan Guppy selalunya menyorok di balik-balik batu dan rumpai untuk mengelakkan dimakan oleh Ikan Guppy jantan. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -