KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan langkah persediaan yang telah diambil oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam menghadapi situasi ketidaktentuan iklim pada masa kini.
Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, jawapan diberi Timbalan Menteri berkenaan kepada Datuk Seri Utama Ir Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) isu Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi menambahbaik dalam keterjaminan makanan adalah sangat mendatar dan umum.
“Sebenarnya kita harus melihat bahawa terdapat berlaku pembaziran sebanyak 11 juta tan metrik makanan di negara kita pada hari ini.
“Jadi apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah ini kerana setiap kali berlakunya pembaziran makanan ia juga akan berlaku pembaziran dari segi sumber, tenaga, baja dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata isu soal pembaziran makanan tertakluk kepada disiplin dan budaya setiap individu.
“Ramai pakar ekonomi mengatakan, bagaimana kita untuk mengedarkan makanan yang ada kepada sasaran supaya lambakan bekalan itu tidak tertumpu kepada golongan yang tertentu sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!