Tidak halang para pegawai kerajaan naik pangkat

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kenaikan pangkat pegawai kerajaan di negeri ini tidak dihalang, namun usaha boleh dilakukan untuk mengekalkan pegawai bagi pertukaran biasa.

- Advertisement -

Menurutnya, kenaikan pangkat adalah proses semulajadi bagi penjawat awam dan beliau berharap semua pihak dapat bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang terlibat.

“Setakat ini, sudah tiga orang Setiausaha Kerajaan Negeri bertukar akibat kenaikan pangkat dan kita tidak menghalang. Kalau sekiranya pertukaran biasa kita boleh berusaha untuk mengekalkan mereka di sini.

“Tetapi untuk kenaikan pangkat, saya punya polisi saya tidak akan masuk campur masa depan seseorang,” katanya dalam sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Terbaru, Dato’ Che Murad Sayang Ramjan dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan pengalaman luas dalam kementerian dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau membuat kunjung hormat terhadap Menteri Besar sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baru berkuat kuasa hari ini, di sini.

Che Murad turut menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan Majlis Angkat Sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rusdi Yahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan ) Dr Noriman Rojulai. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -