‘Sleepy Joe’ akui hampir tertidur dalam sesi debat

Joe Biden sudah banyak kali dirakam media terlelap ketika hadir dalam majlis umum. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

MCLEAN, Virginia: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengakui prestasinya ketika debat presiden Khamis (29 Jun) lalu bukan yang terbaik, tetapi menyalahkan ‘jet lag’ (gangguan tidur) selepas dua perjalanan ke luar negara pada awal Jun.

Bercakap dalam acara kempennya di sini pada petang Selasa, Biden mengakui debatnya terhadap mantan Presiden AS, Donald Trump yang merupakan pesaingnya dari parti Republikan tidak berjalan lancar, lapor CNN.

“Saya tidak mempunyai malam terbaik saya, tetapi hakikatnya anda tahu, saya tidak begitu bijak. Saya memutuskan untuk mengembara ke seluruh dunia beberapa kali, melalui sekitar 100 zon waktu sebelum sesi perdebatan ini.

- Advertisement -

“Tidak dengar (apa ucapan) staf saya dan (saya) hampir tertidur di atas pentas. Itu bukan alasan tetapi ia adalah penjelasan,” katanya.

Biden sebelum ini telah mengembara ke Perancis dan Itali semasa dua perjalanan berasingan dalam tempoh dua minggu bulan lepas, terbang semalaman dari sidang kemuncak G7 di Bari, Itali, untuk hadir pada sesi pengumpulan dana bersama bekas Presiden Barack Obama di Los Angeles pada 15 Jun lepas.

Beliau kemudiannya kembali ke Washington pada hari berikutnya sebelum menghabiskan masa selama enam hari di Camp David sebagai persediaannya untuk sesi debat yang berlangsung pada 27 Jun lalu itu.

Pegawai Rumah Putih dalam pada itu telah menyalahkan demam selesema sebagai punca prestasi Biden yang hambar pada sesi perdebatan lalu. 

Namun, Biden bagaimanapun tidak menyebut perkara berkenaan semasa sesi pengumpulan dana pada Selasa.

Biden berdepan gesaan yang semakin meningkat mengenai bidaannya untuk dilantik semula sebagai presiden, selepas prestasi debatnya goyah minggu lalu, dengan seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat dari partinya secara terbuka menyerunya untuk menarik diri daripada pilihan raya.

Tinjauan yang dilakukan Reuters/Ipsos pada Selasa menunjukkan bahawa satu daripada tiga Demokrat berpendapat Biden harus menamatkan bidaan pemilihan semulanya berikutan perdebatan itu, tetapi tiada Demokrat terpilih yang terkenal melakukan prestasi yang lebih baik daripada Biden.

Pilihan raya presiden Amerika Syarikat akan berlangsung pada 5 November depan, menyaksikan Biden penyandang parti Demokrat bakal sekali lagi berdepan dengan lawannya  dari Republikan pada pilihan raya 2020 lalu, Donald Trump.

Terdahulu, Biden popular dengan gelaran ‘Sleepy Joe’ – nama panggilan yang menggambarkan dirinya yang kerap kali terlelap ketika berada dalam khalayak umum – yang dicipta dan digunakan oleh pihak yang menentang jawatan presidennya, dan telah menjadi meme popular di Internet.

Nama panggilan itu pada asalnya dicipta pada 2019 oleh Trump, dan ia muncul selepas beberapa siri rakaman video yang memaparkan Biden kelihatan sekali sekala tertidur ketika mesyuarat penting dan wawancara televisyen.– HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -