Salam takziah buat keluarga Mohamad Kamal Md Dali 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sedih rasanya hati apabila mendapat berita kematian sahabat yang berkhidmat di Pejabat Agung PAS telah dijemput kembali kepada Ilahi.”

Itu ungkapan yang diluahkan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil mengenai kepulangan Mohamad Kamal Md Dali ke rahmatullah.

“Alahyarham sepatutnya akan tamat perkhidmatannya di Pejabat Agung PAS pada 5 Ogos ini kerana akan genap usia 60 tahun, dan hari terakhir beliau bekerja adalah pada hari Jumaat ini, 5 Julai 2024.

- Advertisement -

“Pagi semalam, ketika saya ke musolla di pejabat, saya lihat arwah sedang dalam berbaring dan mengadu sakit kepala dan anggota badan. Saya suruh arwah berehat dahulu sehingga keadaannya pulih.

“Arwah sebenarnya tidak sabar untuk menanti hari terakhir bekerja kerana faktor kesihatannya selama ini. 

“Walaupun telah ditawarkan untuk menyambung perkhidmatan sekurang-kurangnya sehingga ke akhir tahun, tetapi beliau menolak atas faktor kesihatan,” katanya.

Allahyarham yang merupakan Pembantu Pegawai Keselamatan Pejabat Agung PAS disahkan telah meninggal dunia kira-kira jam 1.30 pagi tadi; dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana pada 11 pagi  hari ini. 

Tambah Khairul, arwah sebelum ini bekerja shift malam kerana melakukan kerja lain pada siang hari, namun ditukarkan ke waktu siang atas faktor kesihatannya. 

“Disebabkan faktor ekonomi dengan jumlah anak yang agak ramai, beliau terpaksa melaksanakan dua kerja sebelum ini.

“Sebelum pulang ke Kluang tengah hari semalam, saya sempat bertemu arwah di tingkat G, di dalam bilik Seminar TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) dan keadaan kesihatannya yang semakin menurun.

“Saya gesa arwah untuk pulang dan dapatkan rawatan di hospital namun arwah sebut jika ke hospital, ‘confirm’ (sudah pastinya) akan ditahan kerana beliau tahu keadaan kesihatannya sendiri,” ujarnya.

Khairul dalam pada itu memaklumkan, pada lewat petang semalam, dia telah dimaklumkan bahawa arwah telah rebah di rumah, sebelum  dibawa ke hospital Ampang dan ditempatkan di Zon Merah.

“Pada jam 9.24 malam, saya menerima mesej daripada Meor Shamsul Jas (rakan) bahawa keadaan arwah semakin kritikal. 

“Sepanjang malam saya memantau situasi beliau kerana bimbang keadaannya yang semakin kritikal. Namun, Allah SWT lebih menyayanginya dan takdir menentukan segalanya.

“Saya telah menitip beberapa ayat untuk saya sebutkan kepada arwah pada hari Jumaat ini namun ianya tidak kesampaian. 

Arwah pun sebenarnya tidaklah mahu diraikan, ‘tak payah susah-susah lah boss, ana tak kisah pun’… arwah sebut beberapa kali begitu sebelum ini, namun pagi semalam beliau sempat mengucapkan terima kasih kepada saya dan Pejabat Agung PAS,” kongsi beliau.

“Oleh itu, sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada arwah, maka Pejabat Agung PAS telah melancarkan ‘Tabung Jasa Bakti Arwah Kamal Dali’ yang akan dibuka sehingga 14 Julai 2024 dan akan diserahkan kepada keluarga arwah. 

“Tabung berkenaan akan diuruskan oleh Setiausaha Eksekutif Pejabat Agung PAS, Mohd Khoirol Anwar dan sumbangan boleh dilakukan ke akaun Maybank MOHD KHOIRIL ANWAR BIN MAT ZUKI (1520 2311 1350),” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -