RKAT: Manfaatkan duit rakyat untuk anggota tentera

Dato' Khlir Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan status terkini kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur di kawasan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

- Advertisement -

Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata, sumbangan daripada duit rakyat kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk penambahbaikan RKAT adalah sebanyak RM19.7 juta sehingga RM400 juta bukan satu jumlah yang kecil.

“Kalau duit yang banyak tetapi tidak digunakan dengan baik atau tidak diseliakan dengan baik tentunya tidak memberi manfaat yang baik kepada anggota-anggota tentera.

“Bagaimana Mindef mengawal pelaksanaan projek ini agar wang sebanyak itu tidak berlaku ketirisan dan dimanfaatkan kepada projek tersebut?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata terdapat 59,000 buah RKAT yang sebahagian besarnya perlu diselenggara.

Adly berkata, jumlah yang diperuntukan kepada kementerian telah diagihkan kepada markas-markas agar ada penyelarasan di peringkat tapak itu sendiri.

“Kita juga melakukan lawatan-lawatan semua kepimpinan di peringkat Mindef yang terlibat dalam pelaksanaan dan pembangunan projek ini untuk memastikan projek tersebut yang siap, bukan sahaja dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Dalam masa yang sama kita harap hasil kerja yang dilakukan oleh kontraktor itu juga dapat memenuhi kehendak anggota-anggota pertahanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -