Pemuda PN dedah antara punca masalah bekalan air

Penyelewengan peruntukan projek bekalan air Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) telah mendedahkan kewujudan unsur penyelewengan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam projek infrastruktur bekalan air di Sungai Bakap.

Exco Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamad Razis Abdul Rahman sehubungan itu telah membuat laporan polis bersama dua yang lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, kerajaan negeri sendiri telah mengumumkan empat projek tersebut dengan kos RM24.6 juta untuk menyelesaikan masalah bekalan air melibatkan 18,066 pengguna di sini.

Empat projek tersebut adalah loji pengapungan udara larut (DAF) Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor; LRA Kompak 2.4JLH Sungai Krian; tangki sedutan baharu Rumah Pam Taman Widuri dan Taman Wellesley; dan LRA mudah alih Taman Sungai Duri Indah.

Beritahunya, selepas PRN15 pada Ogos tahun lalu, isu tersebut telah dibawa oleh ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff atau Abang Zam ke Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada November 2023.

“Akibat tekanan daripada pelbagai pihak, (maka) kerajaan terpaksa menyiapkan salah satu daripada empat projek tersebut iaitu Loji DAF LRA Bukit Panchor.

“Malangnya, kos penyiapan satu projek tersebut telah menghabiskan 75 peratus daripada kos keseluruhan empat projek tersebut iaitu RM18.6 juta,” ujar beliau kepada media.

Katanya, laporan polis tersebut dibuat supaya satu siasatan dilakukan terhadap unsur penyelewengan yang wujud dalam projek tersebut di mana peruntukan RM24.6 juta itu melibatkan kajian bertahun lamanya oleh pegawai kerajaan dan pihak konsultan.

“Namun apabila satu projek sahaja dilaksanakan, ia menelan belanja 75 peratus dari peruntukan keseluruhan. Mesti ada penyelewengan,” curiga beliau. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -
- Advertisement -