Pelantikan anggota Ombudsman perlu lalui JK Parlimen

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penubuhan Ahli Jawatankuasa Ombudsman Malaysia yang merupakan badan bebas yang akan menerima dan menguruskan aduan berkaitan sistem penyampaian kerajaan perlu melalui Jawatankuasa Parlimen.

- Advertisement -

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, ia bersesuaian dengan apa yang pernah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bahawa pelantikan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia perlu melalui Jawatankuasa Tetap Parlimen.

“Adakah pihak kerajaan menetapkan bahawa pelantikan Jawatankuasa Ombudsman juga perlu melalui proses ataupun melalui Jawatankuasa Parlimen bagi memastikan penubuhan Jawatankuasa Ombudsman ini lebih berakauntabiliti, lebih integrity, lebih diyakini oleh rakyat sebagai badan bebas untuk menyiasat sebarang salah laku di pihak mana-mana yang melakukan kesalahan dalam negara kita,” katanya sewaktu mengajukan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang Dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran Murugesan menyambut baik cadangan oleh Ahli Parlimen Sik itu.

“Cadangan Yang Berhormat itu adalah baik. Itu adalah satu perkara saya rasa boleh diambil kira. Saya berpandangan bahawa jawatankuasa yang ditubuhkan yang sedia ada itu boleh berbincang dengan pihak-pihak berkenaan supaya perkara itu dapat dihalusi dan satu tindakan boleh dibuat.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa seperti yang saya bagi tahu bahawa kerajaan sedang dalam proses untuk menentukan dan menamakan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Jelasnya, keputusan muktamad akan dibuat pada masa itu.

Tarmizi dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan pelan terkini menggubal Akta Ombudsman Malaysia yang telus, berakauntabiliti dan cekap dalam sistem kerajaan. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -