MB Perlis terima kunjungan hormat Duta Besar Sweden

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar Mohd Shukri Ramli telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Duta Besar Sweden, Dr. Joachim Bergström, di pejabatnya, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Kunjungan itu turut disertai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Rusdi Yahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Dr Noriman Rojulai.

Pertemuan tersebut membincangkan pelbagai perkara termasuk melibatkan pendidikan, ekonomi, pelancongan dan persempadanan yang fokus utama adalah untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Perlis dan Sweden.

Menteri Besar menyatakan rasa syukur dan berbesar hati menerima kunjungan hormat tersebut serta berharap dapat membuka peluang kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua pihak.

“Alhamdulillah, kami menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Sweden, Dr. Joachim Bergström. Kami berbincang mengenai pelbagai aspek untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara Perlis dan Sweden,” kata Mohd Shukri.

Ujarnya lagi, kunjungan itu diharapkan dapat memberi impak positif dalam mempereratkan hubungan diplomatik dan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama strategik di masa hadapan.

Lebih menarik, Dr. Joachim meraikan inisiatif tulisan Jawi dengan menurunkan tandatangan beliau dalam tulisan Jawi di buku lawatan Pejabat Menteri Besar. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -