Laporan PAC berhubung pengurusan pekerja asing

Mas Ermieyatie (tengah) dalam sidang media di Lobi Parlimen, Kuala Lumpur pada hari ini, 3 Julai 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini membentangkan Laporan PAC Parlimen berhubung Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusinya,  Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, isu ini dipilih selepas dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan Tahun 2022 (Jilid 2) yang dibentangkan di Parlimen pada 22 November 2023.

- Advertisement -

“Laporan ini dibentangkan selepas PAC mengadakan empat prosiding iaitu pada 5 Disember 2023, 22 Januari 2024 dan 13 Mac 2024 dengan memanggil saksi terdiri daripada Jabatan Audit Negara, KDN, KESUMA, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan vendor sistem FWCMS, iaitu syarikat Bestinet Sdn. Bhd.,” katanya.

Menurut beliau, Melalui prosiding yang diadakan, PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2015 telah meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem yang sama berkonsepkan single window.

Tambah beliau, ini sekaligus menyebabkan berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang orang awam.

“PAC turut mendapati bahawa kontrak FWCMS masih belum dimuktamadkan dan ditandatangani antara Kerajaan dan vendor walaupun Surat Setuju Terima bagi pembangunan sistem FWCMS telah dikeluarkan pada 12 Januari 2018 sehingga tarikh prosiding terakhir PAC iaitu 13 Mac 2024.

“Ini bermakna Kerajaan/KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ini jelas melanggar peraturan yang ditetapkan Kerajaan.

“Selanjutnya melalui surat UKAS bertarikh 30 Disember 2020 telah menyatakan FWCMS tidak termasuk di dalam senarai projek yang telah mendapat kelulusan prinsip Jemaah Menteri atau Surat Niat untuk dilaksanakan secara Public Private Partnership (PPP) bagi tahun 2009 hingga 31 Mei 2020.

“Selain itu, didapati bahawa Nota Jemaah Menteri mengenai hala tuju dan pelaksanaan FWCMS tidak diangkat kepada Jemaah Menteri sebelum SST dikeluarkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media yang diadakan di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kapar Dr. Halimah Ali; Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Kuala Pilah Dato’ Adnan Hassan.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati menyatakan PAC turut dimaklumkan KDN bahawa Bestinet telah memohon perlanjutan kontrak bagi tempoh enam  tahun dan kenaikan caj kutipan daripada RM100 kepada RM120.

Tambah beliau lagi, pada 24 Jun 2024 yang lalu, Menteri KDN memaklumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melanjutkan kontrak selama tiga tahun lagi dengan syarikat Bestinet.

“PAC akan mendapatkan maklumat berkaitan perkara ini dalam prosiding tindakan susulan yang akan diadakan dalam tempoh tiga bulan dari hari ini. 

“Namuni, PAC turut mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan Identification (ID) dalam sistem FWCMS di mana terdapat dua ID yang dipegang oleh bukan pegawai KESUMA manakala terdapat 24 ‘unauthorised user’ (‘pengguna yang tidak dibenarkan’) yang telah pun meluluskan 24 permohonan majikan.

“Kes ini telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya satu siasatan dijalankan,” jelasnya.

Kata beliau lagi,  PAC mengesyorkan kepada kerajaan lima perkara untuk dilaksanakan berhubung isu ini iaitu satu daripadanya ialah KDN dan Bestinet Sdn. Bhd. hendaklah dengan segera memuktamadkan keputusan perjanjian dan hala tuju sistem FWCMS.

“KDN perlu memastikan sebarang perolehan berkaitan ICT dirujuk kepada dasar dan peraturan sedia ada yang berkuat kuasa oleh Jabatan Digital Negara (dahulu dikenali sebagai MAMPU).

“KDN hendaklah membetulkan kecelaruan yang berlaku dalam proses perolehan dan mencari jalan penyelesaian dengan segera. KDN dan KESUMA perlu bekerjasama merangka pelan strategik yang menyeluruh berhubung pengurusan pekerja asing dan tidak terhad kepada pembangunan sistem semata-mata.

“Kedua-dua Kementerian perlu memastikan tiada lagi pertindihan fungsi sistem yang dibangunkan mengakibatkan pembaziran wang awam.

“Yang terakhir ialah PDRM perlu memaklumkan perkembangan terkini terhadap siasatan 24 permohonan kuota pekerja asing yang telah diluluskan oleh ‘unauthorised user’ seperti dilaporkan oleh KESUMA,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -