Ketua Audit Negara audit semua parti politik?

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) melahirkan kebimbangan Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) membolehkan Ketua Audit Negara menyiasat audit melibatkan semua parti politik.

- Advertisement -

Katanya, semua parti politik mendapat pembiayaan daripada yuran dan sumbangan ahli parti.

“Apakah rasional audit dijalankan dan apakah yang dimaksudkan dengan audit badan-badan lain?

“Adakah perkara ini melibatkan badan-badan berkanun termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felcra Berhad (Felcra), Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain?

“Selain itu, adakah semua syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 terlibat untuk diaudit walaupun statusnya syarikat sendirian berhad,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurutnya juga pindaan Akta 62 diharap memperbaiki dan memperkukuh tatakelola termasuk pengauditan menyeluruh wang awam untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti.

Namun katanya kerajaan perlu menjelaskan maksud pengauditan menyeluruh terhadap wang awam dari segi sumber dan jumlahnya.

“Adakah perluasan audit akan dilaksanakan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar atas dasar kebajikan dan mendapat sumbangan sukarela daripada orang ramai.

“Apakah kriteria NGO yang akan terlibat dalam audit tersebut,” katanya.

Salamiah berkata, dokumen bertulis yang diedarkan kepada Ahli Parlimen tiada dinyatakan tentang keterlibatan NGO semasa dalam sesi libat urus RUU bersama Ketua Audit Negara sebelum ini. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -