Kembalikan bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat

Dato’ Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekolah Agama Rakyat (SAR) sangat memerlukan ‘bantuan perkapita’ seperti yang pernah diberikan suatu ketika dahulu.

- Advertisement -

Dato’ Ahmad Saad @ Yahaya (Pokok Sena) berkata, pihak pentadbiran SAR pada masa kini menanggung peningkatan pelbagai kos dalam menguruskan sekolah.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Apakah kerajaan bercadang untuk mengembalikan bantuan perkapita sebagaimana yang disebut tadi yang pernah diberikan sebelum (tahun) 2002 kepada pelajar-pelajar di SAR ini?

“Kita melihat kos pentadbiran, kos pengurusan dan juga pembangunan di sekolah meningkat dari masa ke masa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebenarnya SAR banyak membantu kerajaan meringankan beban dari sudut pembangunan dan pengurusan pentadbiran sekolah.

Dalam soalan asalnya, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah SAR di bawah JAKIM yang layak menerima geran bantuan berjumlah RM20,000 sebagaimana yang diumumkan serta mekanisme serta prasyarat permohonan geran bantuan berkenaan.

Sementara itu Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dalam jawapan kepada soalan tambahan itu berkata, terdapat beberapa penambahbaikan yang lain yang telahpun dilakukan ketika ini antaranya peruntukan sebanyak RM150 juta bagi selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam.

Jelasnya, agihan pertama berjumlah RM50 juta telah diagihkan kepada institusi pendidikan Islam yang memohon melalui pemegang taruh negeri di mana ketika ini JAKIM sedang menguruskan baki peruntukan sedia ada.

“Merujuk kepada soalan Yang Berhormat sebentar tadi ianya sememangnya ada di dalam perancangan namun begitu ianya masih lagi berdasarkan kepada kekuatan dan juga peruntukan kewangan yang ada kepada pihak kerajaan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -