Kelantan, negeri lain berpotensi aktiviti pelayaran sungai

Dr. Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya digesa merancang dan membuat sebarang strategi bagi merancakkan pelancongan pelayaran bagi kategori sungai di negeri-negeri lain selain Melaka River Cruise.

- Advertisement -

Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, hal ini kerana negeri-negeri lain juga turut berpotensi seperti negeri Kelantan iaitu di Pengkalan Datu dan Kuala Besar.

“Yang kedua apakah strategi kementerian dalam menggalakkan pengendali kapal pelayaran dan industri kapal pelayaran (bagi) merancakkan lagi terminal pelabuhan.

“(Terminal pelabuhan) seperti Langkawi Cruise Terminal, Swettenham Pier Cruise Terminal di Pulau Pinang dan Port Klang Cruise Terminal di Selangor,” ujar beliau.

Dr Halimah berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing dalam jawapannya berkata, beliau berulang kali memberitahu supaya perlu adanya kerjasama dengan semua kerajaan negeri untuk membuat promosi tersebut.

Katanya, Kementerian Pengangkutan juga perlu bersedia menyambut kerjasama itu supaya promosi dapat dibuat di mana-mana tempat dalam negara ini.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah langkah yang akan diambil oleh kementerian bagi membangunkan Sandakan sebagai salah satu destinasi pelayaran, ataupun cruise destination di Malaysia, memandangkan Sandakan merupakan destinasi popular bagi pelancong-pelancong dari Eropah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor pernah memaklumkan kerajaan negeri dalam usaha merancakkan pelancongan menerusi kewujudan aktiviti pelayaran sungai di Pengkalan Datu dan Kuala Besar.

Bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 pada Februari lalu, ketika itu pihaknya dalam peringkat akhir untuk mewujudkan pelayaran sungai atau river cruise di Kuala Besar menuju ke pulau-pulau di kawasan Tumpat seperti Pulau Suri dan Teluk Renjuna.

Tambahnya, satu lagi river cruise di sungai Pengkalan Datu bermula dari Pasir Tumbuh terus ke hilir sampai ke Kuala Pengkalan Datu.

Beliau juga memberi gambaran pelayaran sungai itu akan melibatkan lawatan ke tempat-tempat bersejarah antaranya ziarah ke Tanah Perkuburan Kota Jembal melalui sungai Pengkalan Datu yang menempatkan kubur bekas Menteri Besar, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. – HARAKAHDAILY 3/7/2024