Abang Zam lepas menang terus bawa isu bekalan air

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Abidin Ismail memaklumkan bahawa beliau sendiri yang menyediakan soalan berkaitan masalah bekalan air untuk dikemukakan ADUN Sungai Bakap ke Persidangan DUN Pulau Pinang.

- Advertisement -

Menurut calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.20 DUN Sungai Bakap tersebut, ketika itu beliau merupakan Pegawai Khas merangkap Pembantu Peribadi kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff atau Abang Zam.

“Boleh tengok dalam TikTok yang dibawa oleh arwah isu masalah bekalan air (tersebut). Waktu itu, penduduk Sungai Bakap sudah lima tahun mengalami masalah bekalan air. Tahun ini masuk enam tahun,” jelasnya.

Beliau menyangkal tuduhan Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji Rayer atau RSN Rayer yang mendakwa isu tersebut tidak pernah dibahaskan oleh ADUN pembangkang di Persidangan.

Malah, wakil rakyat DAP itu menyatakan tidak pernah membaca sebarang laporan akhbar mahupun melihat rakaman video mengenai perbahasan ADUN Sungai Bakap membawa isu tersebut.

“Dakwaan Ahli Parlimen itu tidak betul, saya sendiri selaku Pegawai Khas Allahyarham Abang Zam yang menyediakan semua soalan berkaitan isu air di DUN Sungai Bakap ini. Isu itu telah dibawa oleh Abang Zam ke Sidang November lepas,” ujarnya.

Allahyarham tegasnya, telah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin terutama peranan semak imbang kepada Kerajaan Pulau Pinang semasa hayatnya melibatkan pelbagai isu untuk diberi perhatian.

Sebagai rekod, Abang Zam selepas memenangi kerusi N.20 DUN Sungai Bakap dalam PRN15 pada 12 Ogos 2023 lalu, telah bertindak membawa isu tersebut kepada pihak kerajaan di KOMTAR  dua hari selepas itu, 14 Ogos.

Malah, Allahyarham pernah mempelawa Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir Pathmamathan Krishnan berbincang isu tersebut di Pusat Khidmatnya di Sungai Jawi pada 14 September 2023.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff turut menidakkan lemparan pemimpin PH yang mendakwa isu bekalan air sengaja dipolitikkan sebagai modal kempen pada PRK ini.

“Isu air ni dah lama, bukan hari ini, sudah enam tahun. Sebelum DUN Sungai Bakap ini diwakili PN lagi. Isu ini bukan isu baharu,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -