Utamakan kerjasama bantu mangsa banjir

Dr Afifi Saif
- Advertisement -

PUTATAN: Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah, Dr Afifi Saif mengajak semua pihak bekerjasama menyediakan keperluan bantuan bencana banjir dalam kadar segera dan perlu disalurkan kepada mangsa.

- Advertisement -

Ujar beliau, PAS memerhatikan kerisauan penduduk setempat setiap kali berlaku bencana banjir akan kesukaran mendapatkan bekalan keperluan asas yang mendesak.

“Perlu ada usaha bersama, sentiasa bersiap-siaga menghadapi bencana dengan menyediakan bantuan keperluan asas serta pusat penempatan sementara yang selamat,” tambahnya yang juga Penyelaras DUN Tanjung Keramat.

Di samping itu, penduduk turut dinasihatkan agar sentiasa waspada terhadap sebarang kemungkinan keadaan lebih teruk berlaku.

Beliau juga menekankan agar penduduk yang terkesan dengan bencana banjir sentiasa peka dengan sebaran dan makluman melalui media massa atau media sosial oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah keadaan semasa bencana agar persiapan awal dapat diusahakan dengan segera.

”Sudah pasti pascabanjir akan mengakibatkan kerosakan teruk kepada tempat tinggal dan kawasan persekitaran, adalah wajar penempatan sementara yang selesa kepada mangsa banjir perlu disediakan sementara menunggu keadaan kembali pulih khususnya ruangan bertutup dan bilik solat bagi beragama Islam,” tambahnya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak saling membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir itu.

Pada 30 Jun lalu, daerah Penampang diisytihar bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah diikuti Putatan, semalam. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -