Tangani pemerdagangan manusia: Kerajaan perlu ambil peluang

Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil peluang untuk menangani isu pemerdagangan manusia apabila dipilih mempengerusikan blok serantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2025.

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, kerjasama dengan 10 buah negara itu diharapkan dapat menangani masalah yang semakin membarah tersebut sehingga ke peringkat akar umbi.

- Advertisement -

“Kita akan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun depan, jadi dalam perkara ini kita mohon kepada pihak kerajaan dapat memastikan lebih banyak kerjasama operasi dan pengurusan dibuat.

“Hal ini kita dapat lakukan antara negara-negara ASEAN ini kerana ini adalah cara terbaik untuk kita mengatasi pemerdagangan manusia yang berlaku di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai aktiviti pemerdagangan manusia 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri (KDN), Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapannya berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut malah mengumumkan keyakinan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Menurutnya, terdapat 10 agenda menjadi konsensus antara negara anggota dan salah satu daripadanya di bawah kendalian KDN ialah kluster keselamatan, soal pemerdagangan manusia.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tumpat…benar, aspek kerjasama antarabangsa ini adalah pra-syarat yang sangat penting pada tahun depan apabila kita (Malaysia) jadi pengerusi (blok serantau persidangan) ASEAN.

“Waktu kita jadi pengerusi nanti, untuk kluster keselamatan termasuk pemerdagangan manusia ini kita akan beri perhatian sepenuhnya ketika kita mempengerusi blok serantau ASEAN tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -