KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyatakan jaminan sekiranya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bercadang untuk menyelaraskan undang-undang bagi penjanaan kredit karbon daripada hutan Malaysia.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, undang-undang yang melibatkan hutan ataupun mineral unsur nadir bumi (REE) berkait rapat dengan kerajaan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan mengguna pakai dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA) kerana menghakis kekayaan negeri dan hanya berpusat sebagai persekutuan.
“Kita lihat masa depan karbon ini sangat baik dan difahamkan akan mencapai RM1.6 bilion selaras dengan perkembangan semasa.
“Adakah kita boleh bergerak ke arah meminda ataupun mengemas kini peruntukan dalam perlembagaan supaya membenarkan kerajaan negeri dalam usaha untuk menjaga karbon di hutan dan juga REE daripada terus diceroboh.
“Selain itu, menubuhkan satu unit khusus Kor Angkatan Tentera untuk menjaga hutan dan mineral dalam negeri masing-masing,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam jawaannya berkata kementeriannya tidak berhasrat untuk meminda perlembagaan yang sedia ada.
“Perlembagaan jelas meletakkan bidang kuasa hutan dan mineral ini di bawah bidang kuasa negeri dan kita tidak melihat keperluan buat masa ini untuk mengadakan satu PDA tentang REE.
“Karbon ini bukan hutan semata-mata kerana ia juga tentang emisyen dan penyelesaian asas. Sebab itu, jika dilihat pada Perjanjian Paris 2015 yang meletakkan bahawa ada Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) yang perlu dijelaskan oleh setiap negara.
“Justeru, peranan Kerajaan Persekutuan perlu mempunyai kredibiliti dan berwibawa bagi memastikan standard tersebut dipatuhi dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024