Rafizi suka sumbat gol ke gawang sendiri – Syahir

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli sebagai pemain bola yang suka bertindak menyumbat gol ke gawang pasukannya sendiri.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu mengulas demikian berikutan dakwaan dilemparkan oleh Timbalan Presiden PKR tersebut terhadap Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau memetik permohonan maaf Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kepada penduduk Sungai Bakap kerana berdepan masalah air sejak lebih enam tahun lalu.

Menurut Syahir, dalam isu bekalan air di Sungai Bakap khususnya dan Pulau Pinang amnya yang dituduh Rafizi terhadap Dato’ Sri Tuan Ibrahim sudahpun terjawab dengan permohonan maaf oleh Kon Yeow itu.

“Yang penting adalah usaha kolektif (Kerajaan) Negeri dan (Kerajaan) Persekutuan untuk selesaikan (masalah tersebut), bukan politikkan,” ujar beliau selepas turun berkempen sempena PRK N.20 DUN Sungai Bakap.

Rafizi mendakwa Ahli Parlimen Kubang Kerian itu semasa menjadi Menteri Air telah mengabaikan masalah air di Sungai Bakap, semasa berceramah di Padang Lalang, Simpang Ampat, di sini kelmarin dahulu.

Bagaimanapun Chow mengakui bahawa Kerajaan Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan telah menyenaraikan beberapa projek fizikal bagi penyelesaian berkaitan ketika berucap dalam ceramah yang sama.

“Penat juga kalau dapat member (rakan) jenis suka sumbat gol sendiri ni,” sindir Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS sekali gus ‘memulang paku buah keras’ terhadap tuduhan Rafizi tersebut.

Dalam pada itu pemimpin muda tersebut juga menyeru agar kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) dikekalkan dan mengajak anak muda menolak penipuan PH di Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -
- Advertisement -