Pidato Sektor Awam Piala SUK Terengganu martabatkan bahasa Melayu

Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penganjuran Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu 2024 menjadi inisiatif  terbaik untuk memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pertandingan itu juga mengetengahkan golongan yang berketerampilan dalam mengemukakan idea, pandangan mahupun mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan baik serta relevan.

- Advertisement -

“Selain dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang berkesan dan boleh dipraktikkan dalam sebarang urusan dengan pelanggan, medan ini juga dapat memupuk rasa bangga serta cinta terhadap bahasa Melayu.

“Manfaatkanlah seni berpidato ini dengan mempamerkan kekuatan penguasaan bahasa yang baik, malah menjadi falah dalam membicarakan idea dan seharusnya menjadi instrumen untuk sebuah cita-cita besar dan impian yang disampaikan kepada masyarakat, bangsa dan negara.

“Pidato adalah satu kemahiran yang datang dengan tanggungjawab dan penuh profesionalisme khususnya dalam amalan pentadbiran serta pengurusan pekerjaan kita pada marcapada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan pidato, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Ab Rasid Jusoh dan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Sementara itu, beliau berkata, ‘Tadbir Urus Berintegriti, Negeri Diberkati’ yang dipilih sebagai tema pertandingan akhir pada kali ini amat relevan dalam menzahirkan amanah dan tanggungjawab sebagai penjawat awam yang utuh, suci, jujur dan berusaha mengelak sebarang ketirisan yang boleh memudaratkan kehidupan.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab untuk sentiasa mengingatkan semua termasuklah diri saya supaya menghayati dasar-dasar sedia ada kerajaan, memahami aspirasi dan ekspektasi pentadbiran, mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan serta menzahirkan amalan terpuji sebagai umat yang bertanggungjawab bukan sahaja terhadap keluarga, kepimpinan  ahupun semua pekerja dari peringkat bawahan sekalipun. 

“Tuntasnya, apa yang kita laksanakan ini biarlah menjadi ibadah demi mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT. Jangan nanti hidup dalam kemelaratan, ‘Bagai Kerakap Di Atas Batu, Hidup Enggan Mati Tidak Mahu‘,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur atas inisiatif melaksanakan pertandingan pidato yang julung kali diadakan.

“Saya percaya, mencari pemidato terbaik bukanlah menjadi objektif utama pertandingan ini, sebaliknya apa yang lebih bermakna adalah impak tinggi program kepada pengkayaan pengalaman, peningkatan kesedaran dan pengamalan terhadap budaya kerja yang menepati falsafah dan nilai etika Islam serta tidak bertentangan dengan syariat.

“Arakian, sekali lagi saya ingatkan supaya kita juga tidak lupa bahawa bahasa Melayu mencerminkan jati diri bangsa Malaysia yang beradab dan berbudi bahasa serta tidak sesekali ‘Ibarat Bunga Dedap, Sungguh Merah Berbau Tidak‘,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -