Penyasaran subsidi RON95: Kerajaan tak tolak kemungkinan akan dilaksanakan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyatakan dengan jelas sama ada hendak melaksanakan penyasaran bersasar subsidi minyak petrol RON95 ataupun tidak dalam keadaan Ringgit jatuh dan kasar inflasi mengunjurkan antara 2.0 sehingga 3.0.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ini adalah kerana pada 5 Mei lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan kabinet belum membincangkan isu kenaikan harga petrol diesel, namun ia dilaksanakan sebulan selepas itu.

- Advertisement -

Selain itu katanya, kerajaan digesa menyatakan jumlah sebenar miskin tegar di Malaysia berikutan perbezaan di antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), E Kasih serta Kementerian Ekonomi.

“Perlulah diakui bahawa bagaimana kemiskinan tegar pada hari ini masih menjadi tajuk utama dan semalam pun saya sudah bawa fakta bahawa mengikut data ICU JPM menyatakan bahawa miskin tegar masih 423,341.

“Di negeri kelahiran Tambun sendiri (Perdana Menteri), 2,470 keluarga miskin tegar berbanding Kelantan (seramai) 1,613, Terengganu (seramai) 1,236. 

“Semalam Menteri Ekonomi sudah menyatakan bahawa data ini kerana ada perbezaan di antara E Kasih dan juga data yang ada di Kementerian Ekonomi.

“Tetapi, inilah yang diterbitkan dua minggu lepas di Jabatan Perdana Menteri di bawah Tambun sendiri. Ertinya kemiskinan dan sara hidup itu satu perkara yang tidak boleh

kita nafikan sama sekali,” jelas beliau.

Fadhli menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhli berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menjelaskan bahawa subsidi sekarang mencecah RM58 bilion merangkumi ke semua sekali menunjukkan dan menafikan dakwaan jumlah di luar sana sehingga mencecah RM80 bilion, RM70 bilion. 

Sementara, Anwar dalam jawapannya berkata, kerajaan masih belum memuktamadkan untuk melaksanakan subsidi petrol RON95 secara bersasar dan tidak menolak kemungkinan untuk dilaksanakan. 

Berkenaan data miskin tegar menurutnya, beliau bersetuju dengan cadangan Fadhli supaya diselaraskan data tersebut tetapi dengan kategori yang berbeza dan beliau tidak menafikan terdapat perbezaan antara ICU JPM dan Kementerian Ekonomi.

Sebelum itu, Perdana Menteri menjawab soalan Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta beliau menyatakan perkembangan terkini indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah yang digerakkan pada Mac 2024; dan apakah program yang telah dilaksanakan kerajaan berdasarkan dapatan dari indikator baharu terbabit. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -