Pemimpin penipu akan dipersoal Allah di akhirat nanti

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Pemimpin bukan hanya bertanggungjawab kepada masyarakat di bawah, sebaliknya turut akan disoal oleh Allah SWT terhadap amanah yang dipikul di akhirat kelak.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Taman Enggang, Unit Daerah Mengundi (UDM) Padang Lalang, di sini semalam.

Menurutnya, ulama muktabar berpandangan bahawa politik itu merupakan fardu kifayah ke atas rakyat beragama Islam, tetapi tugas serta amanah pemimpin itu merupakan fardu ain terhadapnya.

“Tak kira siapapun, lebih-lebih lagi lagi yang berebut nak jadi pemimpin. Tugas itu fardu ain ke atas dirinya. Berat. Perlu jawab depan Allah nanti. Apatah lagi kalau menipu.

“Menipu orang yang dipimpin (rakyat) takkan beroleh syurga di akhirat nanti,” jelasnya yang juga berpengalaman sebagai Menteri Kabinet dan bekas Setiausaha Agung Umno.

Beliau yang juga Pengasas NGO Muafakat Nasional (MN) turut menegaskan, janji ditabur pemimpin untuk menyeronokkan hati rakyat, boleh dikira munafik sekiranya tidak ditunaikan.

“Kena ada rasa takut bila berhadapan dengan perkara seperti ini, jangan bila dah jadi orang politik, jadi Menteri, hilang rasa takut. Tipu rakyat, lebih berat tak takut dengan Allah, sedangkan Dia (Allah) selalu ingatkan kita melalui firmanNya di dalam Al-Quran.

“Bukti yang mereka tidak takut kepada Allah, apabila terus menabur janji baru walaupun janji sebelum ini pun gagal ditunaikan,” tambah beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Ketereh.

Justeru katanya, setiap pemimpin politik perlu bermuhasabah diri sama ada sempat atau tidak bertaubat dan mengubah diri terutama yang telah menjangkau umur lebih daripada 70 tahun.

“Kalau umur masih 40 atau 50 tahun, InsyaAllah masih ada peluang untuk berubah dan bertaubat dengan kerja-kerja menipu rakyat ini, tetapi kalau dah lebih 70 tahun, sempatkah lagi? ” soalnya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru agar umat Islam terus bersatu menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran.

“(Agenda) Muafakat Nasional pernah termeterai dahulu antara PAS dan Umno merupakan jalinan terbaik menggabungkan dua parti terbesar orang Melayu-Islam di Malaysia.

“Tapi kerana sikap pemimpin yang ada kepentingan lain, ia lebur begitu lagi,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -