Menyesal dulu sokong PH, tekad undi PN kali ini

Mohd Hakimi Anas
- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Warga penduduk yang pernah menyokong Pakatan Harapan (PH) meluahkan rasa menyesal dan bertekad merubah undi kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap.

- Advertisement -

Peniaga muda, Mohd Hakimi Anas, 18, menyuarakan azam tersebut sambil membahas sebab peralihan sokongannya ketika ditemui Harakahdaily, di tapak gerai jualan, Tasek Mutiara, di sini semalam.

“Ramai yang tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi sekarang. Terutama berkaitan kenaikan harga diesel yang menyebabkan harga barang naik mendadak.

“Dahulu saya menyokong PH, kali ini saya dah berubah dan akan beri sokongan kepada PN. Lagipun saya tengok petugas PN ini berbeza dengan PH, beri khidmat sukarela tanpa harap upah,” katanya.

Seperkara lagi ujarnya, walaupun festival anjuran PH diadakan berhampiran di tapak perniagaannya sebelum ini, namun tidak memberi keuntungan dan manfaat kepada peniaga walaupun kehadiran ramai.

Namun mengakui teruja dan menyifatkan berbeza dengan program anjuran PN, di mana walaupun kehadiran tidaklah terlalu ramai tetapi membantu jualannya meningkat.

Mohd Saad Mohd Amin

Sementara bagi Mohd Saad Mohd Amin, 37, dari Kampung Kepala Gajah, calon PN, Abang Abidin adalah individu yang tepat untuk dipilih oleh warga pengundi DUN Sungai Bakap.

“Saya menyokong penuh kepada calon PN, Abang Abidin. Dia rapat dengan arwah Abang Zam dan saya yakin dia boleh menyambung kerja-kerja yang tak sempat Abang Zam buat untuk rakyat DUN Sungai Bakap,” katanya.

Apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang menimpa rakyat dan melanda negara di bawah pentadbiran Kerajaan PH sekarang ini tambahnya, kepercayaan rakyat terhadap PH semakin merosot.

Bagi Balkis Ahmad, 39, peniaga yang berasal dari Alor Setar dan kini menetap di Simpang Ampat, yakin Abang Abidin dan PN menang pada 6 Julai nanti serta mampu membawa masalah rakyat ke peringkat atasan

“Harap dia (Abang Abidin) menang. Saya yakin dia boleh meneraju DUN Sungai Bakap. Isu sekarang rakyat tak puas hati dengan harga barang. Peniaga tersepit dgn harga barang yang tinggi.

“Berniaga pun tak boleh nak  tampung, takat cukup makan saja,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -